Periksa gula dalam badan, elak diabetes

in Edisi Sabah Sarawak by


KUNAK – Masyarakat khususnya penduduk di Kunak disaran menjalani pemeriksaan gula dalam badan supaya tampil lebih sihat dan mencegah daripada dijangkiti penyakit diabetes atau kencing manis.


Pengarah Hospital Kunak, Dr Asbullah Sudin berkata saranan penting itu seiring hasrat hospital untuk mencegah trend peningkatan penghidap diabetes yang dikesan di daerah ini.


“Setakat Januari hingga November ini, seramai 308 penduduk di sini mendapatkan rawatan selepas disahkan menghidap diabetes berbanding 252 pesakit bagi tempoh sama tahun lalu.


“Justeru pemeriksaan perlu dilakukan setahun sekali bagi individu berumur 40 tahun ke bawah serta enam bulan sekali bagi yang berusia 40 tahun ke atas,” katanya kepada Bernama.


Beliau berkata demikian selepas Forum Awam Kesedaran Diabetes dan Komplikasi 2017, sempena Hari Diabetes Sedunia di Dewan Sri Kunak di sini, hari ini.


Dr Asbullah berkata pihaknya merekodkan pesakit diabetes baharu yang berusia seawal tiga hingga 60 tahun.


“Penghidap diabetes ini mengamalkan gaya pemakanan tidak sihat dan antara simptom awal ialah selalu rasa lapar, keletihan, kerap membuang air kecil, luka sukar sembuh dan kerap dahaga.


“Kebiasaannya mereka disahkan penghidap apabila bacaan gula dalam darah mencecah 5.6 tinggi ketika berpuasa atau lebih daripada 11 tinggi selepas makan,” katanya.


Beliau berkata individu yang memiliki tanda penyakit ini perlu segera mendapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan yang berdekatan.


Forum yang dirasmikan Pegawai Daerah Kunak Susilo Sumarto, mewakili Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Adun Kunak Datuk Nilwan Kabang itu, dihadiri kira-kira 300 peserta terdiri daripada orang dan penjawat awam daripada Kunak, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.


Sementara itu, Dr Asbullah mengingatkan masyarakat jika bacaan gula dalam darah pesakit terlalu tinggi, ia akan menyebabkan penghidap mendapat jangkitan kuman dalam badan. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]