Remaja trauma diacu parang di leher

in Uncategorized by


IPOH – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah, di sini berdepan detik cemas hampir lima jam selepas rumahnya di Taman Arkid, Menglembu dipecah masuk tiga individu yang kemudiannya bertindak mengacukan parang di leher.


Ketika kejadian sekitar jam 1.30 petang semalam itu, remaja lelaki terbabit dikatakan tinggal seorang diri dalam keadaan pintu rumah berkunci, sementara ibunya keluar bekerja.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, tiga suspek berkenaan dipercayai masuk ke rumah itu menggunakan kunci yang diambil dari tepi pintu rumah terbabit.


“Seorang daripada mereka yang memegang parang  mengacu senjata berkenaan di leher mangsa, dua lagi menggeledah rumah.


“Kesemua mereka mengambil masa lebih kurang 15 minit menggeledah rumah sebelum melarikan sebuah peti besi mengandungi wang tunai RM25,000 dan barangan kemas dengan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan RM65,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini,


Beliau berkata, kejadian itu hanya disedari ibu mangsa yang pulang dari tempat kerja sebelum membuat laporan polis sekitar jam 6.40 petang.


“Ketika laporan dibuat, mangsa dikesan masih lagi berada dalam keadaan trauma,” katanya.


Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, polis berjaya menahan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di rumahnya pada jam 9 malam, hari sama.


“Semakan lanjut mendapati, suspek yang berperwatakan seperti lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]