TNB sedia gerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersiap sedia untuk  menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan yang akan bertugas 24 jam sekiranya berlaku banjir semasa musim tengkujuh ini.


Pengurus Besar Kanan (Distribution Network) Bahagian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, pasukan itu akan membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebagainya dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan.


Katanya dalam kenyataan di sini hari ini, TNB juga akan membuka bilik gerakan bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.


“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 untuk tindakan segera,” katanya.


Beliau berkata, jika terdapat pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula elektrik hanya akan dibuat selepas keadaan selamat.


“Saya menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air dan jangan sesekali menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah atau lembap.


“Setelah banjir surut, pengguna dinasihatkan supaya mendapat khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di dalam premis yang dinaiki air,” katanya.- Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]