‘Tunggu pengumuman rasmi FAM’

in Sukan by


PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan dua kelab yang akan beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, keputusan mengenai dua pasukan yang akan mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFC akan diketahui dalam masa terdekat.


Setakat ini juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat beraksi saingan Piala AFC musim depan.


Namun, tempat satu lagi pasukan iaitu juara Piala FA tahun ini, Kedah dikatakan akan digantikan dengan naib juara Piala FA, Pahang berikutan kegagalan pasukan itu mendapatkan lesen AFC.


Mengulas perkara ini, Kevin meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang andaian awal selagi pengumuman rasmi daripada FAM tidak dikeluarkan.


“Sebelum ini jawatankuasa rayuan meluluskan lesen FAM untuk Kedah beraksi di Liga Super musim depan. Tapi lesen AFC tidak dinyatakan.


“Jika benar Kedah tiada lesen AFC, maknanya betullah mereka tidak boleh beraksi di Piala AFC.


“Tapi semua itu akan diumumkan dalam masa terdekat, Saya tidak boleh memberi komen lanjut kerana kami badan yang menguruskan pasukan untuk mendapatkan lesen, tetapi pihak yang akan meluluskan lesen itu ialah jawatankuasa kelab dan pelesenan FAM,” katanya.


Pada masa sama Kevin, meminta semua pihak menghormati keputusan yang akan diumumkan jawatankuasa FAM itu


“Mungkin ada segelintir penyokong yang akan tidak berpuas hati dan sebagainya, tapi saya harap semua dapat terima dan boleh move on.


“Diharapkan apa yang terjadi nanti boleh dijadikan iktibar untuk semua pasukan mengambil serius soal kepentingan pelesenan kelab kerana ia adalah asas yang baik untuk kemajuan bola sepak tempatan kita,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]