6 beranak tinggal di rumah ‘kotak’

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Kerana kekangan kewangan, seorang tukang rumah, Mat Zaid Mohamad, 34 dari Felda Kerteh 4, di sini hanya mampu menyediakan sebuah rumah kecil sebagai tempat tinggal isteri dan empat anaknya.


Keadaan rumah umpama kotak itu yang sempit, tidak mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik termasuk tandas membuatkan Mat Zaid dan keluarganya tidak tinggal sepenuhnya di rumah itu dan mereka terpaksa terpaksa menumpang berteduh di rumah ibu bapanya yang berada bersebelahan.


Mat Zaid berkata, rumah seperti kotak yang dibina tersebut adalah hasil sumbangan kewangan dari kerajaan dan dia tidak mampu untuk menyiapkannya dengan sempurna.


Menurutnya, dengan pendapatan tidak menentu, ditambah pula terpaksa menyara empat anak berusia setahun hingga tujuh tahun, dia tidak mampu untuk menyediakan tempat tinggal selesa.

Kelulusan peruntukan RM10,000 serta merta diberikan kepada keluarga berkenaan untuk menaiktaraf rumah.


“Saya tiada bajet untuk membina rumah yang sempurna untuk keluarga dan terpaksa hidup dalam keadaan macam ni.


“Kemudahan bekalan air dan elektrik pun tiada di rumah kami yang sekangkang kera.


“Apabila nak mandi memang kami akan ke rumah emak saya yang berada bersebelahan dan kami memang masih menumpang di rumahnya.


“Tidak boleh tinggal sepenuhnya di rumah ini kerana semua kemudahan tiada,” katanya ketika menerima lawatan diketuai Pegawai Pembangunan Masyarakat Dungun, Datuk Din Adam.


Hadir sama, Penyelaras Dun Paka, Tengku Hamzah Tengku Draman.


Dugaan seorang daripada anak kembarnya OKU


Sementara itu, isterinya Mat Zaid, Nor Hidayu Daud, 23 berkata, bukan sahaja tiada tempat tinggal yang sempurna tetapi keluarganya diuji apabila salah seorang anak kembar yang dilahirkan disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).


“Kami mempunyai sepasang kembar berusia setahun lebih dan salah seorangnya mengalami masalah kesihatan apabila tidak mempunyai “lelangit” sejak lahir.


“Sekarang kami masih lagi membawa dia membuat rawatan,” katanya.


Terima peruntukan naik taraf kediaman RM10,000


Bagaimanapun, kekurangan dan masalah yang dihadapi enam beranak berkenaan diberi perhatian semasa lawatan diketuai Pegawai Pembangunan Masyarakat Dungun yang pada asalnya bertujuan meninjau keadaan sistem pendawaian di rumah berkenaan kerana tersenarai sebagai salah seorang penerima bantuan menerusi program Jom Bantu Rakyat.


Keadaan rumah yang boleh diumpamakan sebagai pondok itu amat mengejutkan rombongan lawatan dan peruntukan serta-merta untuk menaik taraf kediaman telah diluluskan.


Din Adam berkata, kelulusan serta merta sebanyak RM 10, 000 diberikan kepada keluarga berkenaan agar kerja menaik taraf rumah dapat dilaksanakan dengan segera.

Rumah sempit tanpa kemudahan air, elektrik dan tiada tandas.


Tambahnya, tempoh masa selama tiga bulan diberikan kepada lelaki berkenaan untuk menyiapkan pembinaan rumah ke arah lebih sempurna.


“Tidak sewajarnya keluarga ini tinggal dalam keadaan seperti sekarang dan perkara ini tidak boleh dibiarkan.


“Sepatutnya sebuah rumah harus ada ruang tamu, kemudahan bilik air dan tandas serta kelengkapan lain tetapi sekarang hanya satu ruang sempit sahaja.


“Kita berikan RM 10, 000 untuk kerja pembinaan rumah dan tanggungjawab itu diserahkan kepada lelaki itu sendiri memandangkan dia seorang tukang rumah.


“Bukan dia seorang sahaja tetapi dibantu oleh penduduk kampung dan mungkin melalui gotong-royong atau konsep strategi lautan biru (NBOS).


“Peruntukan yang diluluskan akan digunakan untuk membeli bahan-bahan untuk pembinaan dan dia sendiri akan buat kerja-kerja pertukangan.


“Bagi memastikan progres naiktaraf rumah berjalan lancar kita akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]