Bantu baik pulih premis rosak akibat banjir

in Nasional by


BUKIT MERTAJAM – Semua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Bandar dan Wilayah (KKLW) diminta mengemukakan senarai kerosakan infrastruktur akibat banjir yang berlaku di negeri itu, minggu lalu.


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat tersebut, termasuk daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) untuk penilaian sebelum menyalurkan bantuan.


“Saya sedang mendapatkan senarai kerosakan infrastruktur dan premis milik KKLW. Sebagai contoh, jalan kampung yang rosak, dewan serba guna, balai raya, surau dan tabika di kawasan terjejas.


“Saya minta semua JKKKP dari setiap kampung senaraikan kerosakan dialami mereka dan serahkan ke pejabat Umno bahagian supaya maklumat berkenaan dapat diselaraskan dan maklumat itu akan disalurkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk penilaian,” katanya selepas melakukan lawatan di Tabika Permatang Rawa di sini, kelmarin.


Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.


Mengulas lawatannya ke beberapa tabika di sini kelmarin, Ismail Sabri berkata, 41 tabika di negeri ini terjejas akibat banjir.


Menurutnya, kebanyakan tabika terlibat mengalami kerosakan harta benda seperti perabot, barangan elektrik, bahan bacaan, dokumen dan peralatan pembelajaran.


“Kita anggarkan jumlah kerugian dialami di semua tabika terlibat sebanyak RM165,000.


“Saya telah mengarahkan pe-ngarah Kemas di negeri ini untuk segerakan penggantian barang pembelajaran agar anak-anak di sini dapat meneruskan pembelajaran mereka selepas ini,” katanya.


Terdahulu, Ismail Sabri bersama 1,645 sukarelawan daripada KKLW melakukan aktiviti gotong-royong di 33 kawasan terjejas banjir di seluruh negeri ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]