Dakwaan pembersihan etnik: AS tuntut lebih bukti

in Global by


NAYPYITAW – MYANMAR. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengatakan lebih banyak bukti diperlukan sebelum AS bersetuju dengan dakwaan terdapat kegiatan pembersihan etnik dijalankan di Rakhine, Myanmar.


Menurut laporan CNN, perkara itu diberitahu Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dalam satu sidang media bersama Penasihat Negara Myanmar,  Aung San Suu Kyi di Naypyitaw.


“Kami mengambil berat dengan laporan mengenai kekejaman pihak keselamatan Myanmar,” kata Tillerson.


Kata Tillerson, satu siasatan penuh dan bebas perlu dijalankan untuk menilai situasi di Rakhine.


“Apa yang kami tahu berlaku di Rakhine, terdapat beberapa karakteristik jenayah terhadap kemanusiaan.


“Sama ada ia mematuhi kriteria pembersihan etnik, kami akan pastikan sendiri,” jelas Tillerson.


Dalam lawatan kali pertama Tillerson ke Myanmar berkenaan, beliau menjanjikan bantuan AS$47 juta (RM196.3 juta) untuk pelarian Rohingya.


Wakil-wakil dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah sebelum ini menganggap krisis di Rakhine melibatkan proses pembersihan etnik.


Perdana Menteri Britain, Theresa May sendiri mengkritik kerajaan Myanmar dan menggesa kekejaman di Rakhine dihentikan.


“Kami terkejut dengan keganasan tidak berperikemanusiaan yang berlaku di Rakhine. Ia krisis kemanusiaan yang dahsyat, dicipta oleh tentera Myanmar dan ia kelihatan seperti pembersihan etnik,” kata jurucakap kepada May, Mei lalu.


Source: SH Global

[featured-video-plus]