Guna sistem pengurusan holistik kurangkan kesesakan

in Nasional by


KUCHING – Sistem pengurusan lalulintas yang lebih holistik akan digunakan bagi mengurangkan kesesakan lalulintas terutama semasa waktu puncak di Kuching, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing.


Beliau berkata projek perintis yang akan diperkenalkan itu dikenali sebagai Sistem Lampu Isyarat Pintar Bersepadu iaitu sistem pemantauan lalulintas disambungkan ke komputer yang membolehkan tempoh lampu isyarat menyala merah dan hijau diselaraskan mengikut masa nyata dan jumlah lalulintas.


“Integrasi sistem kejuruteraan dan teknikal ini bagaimanapun, mengambil masa sebelum dapat dilaksanakan,” kata Masing, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri dalam ucapannya semasa menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.


Beliau berkata dalam tempoh satu tahun akan datang, agensi berkenaan akan melaksanakan laluan perintis di Green Road, Jalan Tun Razak, Jalan Satok ke Kuching Sentral dan Kota Samarahan ke Jalan Song.


“Sebaik sistem ini diuji dengan betul dan terbukti berjaya, sistem yang serupa akan dilaksanakan di seluruh negara secara beransur-ansur.


Masing juga memberitahu Dewan bahawa Kuching telah dipilih sebagai satu daripada lima bandaraya di Malaysia untuk program yang akan dilaksanakan di seluruh negara iaitu Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST).


Beliau berkata tempoh kontrak untuk program ini ialah lima tahun dan perjanjian mengenainya akan dimuktamadkan bulan ini (Nov 2017).


“Operasi dijangka dimulakan tahun depan dan ia akan mengambil masa satu tahun untuk bas-bas itu dikeluarkan dan dipasang dengan sistem tiket elektronik pematuhan kad ‘tough-n-go’, WiFi, sistem Global Positioning System (GPS) dan CCTV untuk keselamatan, sebelum ia boleh beroperasi,” kata Masing.


Beliau berkata projek SBST Kuching akan meliputi kira-kira 500 km (15 laluan utama dan 12 laluan perantara) dengan 130 bas baharu dan menambah kekerapan bas berkisar selang antara 20 minit hingga 1 ½ jam bergantung pada laluan yang dilalui. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]