Maccops diperluas ke peringkat antarabangsa

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (Maccops), anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dijangka diperluas ke peringkat antarabangsa.


Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia berikutan maklum balas baik diterima daripada peserta Persidangan ICA Global Conference and General Assembly yang diadakan serentak dengan Maccops 2017.


“Presiden International Co-operative Alliance (ICA), Monique F Leroux juga setuju dengan idea agar Maccops dijadikan satu jenama antarabangsa.


“Mungkin dalam Persidangan ICA di luar negara selepas ini, kita akan turut adakan pameran Maccops.


“Kita mahu jadikan Maccops ini sebagai jenama untuk pasar produk koperasi di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Maccops 2017 di Pusat Konvensyen Sunway, semalam.


Turut hadir, Leroux dan Naib Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail.


Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pihaknya meletakkan sasaran RM200 juta transaksi perniagaan dalam Maccops 2017.


“Terdapat 162 reruai koperasi tempatan dan 20 koperasi antarabangsa terlibat dalam Maccops 2017. Kali ini kita pilih koperasi yang memiliki produk bertaraf antarabangsa.


“Ini bagi membolehkan koperasi ini mendapat peluang meluaskan produk ke luar negara,” katanya.


Leroux pula berkata, pihaknya berminat mencontohi konsep Angkasa yang membantu koperasi kecil.


“Walaupun koperasi di Kanada lebih besar dan tersusun, tapi kami tiada konsep seperti Angkasa yang membantu usahawan koperasi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.


Orang ramai dijemput mengunjungi Maccops 2017, yang berlangsung dari semalam hingga 19 November.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]