Mangsa ditendang penyamun bersenjata parang

in Semasa by


KUALA TERENGGANU – Bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian apabila gelang tangan dan telefon bimbit miliknya disamun, seorang wanita turut ditendang seorang penjenayah bersenjatakan parang, dalam kejadian di kedai dobi miliknya di Chabang Tiga, di sini, Isnin lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 33 tahun berada di dalam kedai berseorangan, sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang berpura-pura bertanya sama ada premis itu ada menyediakan perkhidmatan untuk membasuh cadar.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, sejurus dimaklumkan perkhidmatan berkenaan ada disediakan di kedainya, suspek memberitahu kononnya mahu pulang ke rumah dulu untuk mengambil cadar yang hendak dibasuh.


“Beberapa minit kemudian, suspek datang semula ke kedai dobi berkenaan dan bertindak memerhatikan gelagat mangsa di dalam kereta Perodua Viva yang diparkir berhampiran premis tersebut.


“Apabila mendapati tiada individu lain di dalam kedai, suspek terus masuk ke dalam premis lalu bertanyakan sama ada mangsa ada memiliki gelang tangan dan rantai leher sambil menunjukkan sebilah parang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Menurut Idris, tanpa sempat memberi jawapan, mangsa terus ditolak sehingga jatuh dan ketika itu, mangsa cuba melarikan diri namun gagal apabila tangan dan tudungnya ditarik.


“Suspek kemudiannya merampas gelang tangan dan telefon jenis Huawei, sebelum melarikan diri dengan meninggalkan parang di bawa di dalam kedai berkenaan.


“Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati itu turut bertindak menendang mangsa sebelum meninggalkan kedai dobi itu,” katanya.


Jelasnya, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut.


Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan menggunakan senjata.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]