PBB digesa tangani 'jurang digital'

in Global by


GENEVA – SWITZERLAND. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) pada asasnya dilihat mampu meningkat punca pendapatan di seluruh dunia, hanya jika sumber-sumber digital boleh diakses dan cabaran jurang digital ditangani, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan ICT pada Rabu.


Menurut Laporan Pengukuran Masyarakat Bermaklumat 2017 yang dikeluarkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), kemajuan serentak dalam Internet Benda, analitis data besar, pengkomputeran awan serta kecerdasan buatan akan membolehkan inovasi yang luar biasa dihasilkan, sekali gus mengubah perniagaan, kerajaan dan masyarakat.


Bagaimanapun, jurang digital kekal menjadi cabaran yang perlu ditangani kerana ICT dan ekonomi digital akan berpotensi mengubah kehidupan berbilion-bilion orang hanya jika sumber-sumber digital boleh diakses, kata Setiausaha Agung ITU, Zhao Houlin.


Menurut laporan itu, terdapat perbezaan yang besar antara wilayah geografi dalam tahap pembangunan ICT, serta variasi ketara dalam pengalaman peribadi setiap negara di setiap rantau, yang sebahagian besarnya dikaitkan dengan tahap pembangunan ekonomi.


Negara paling mundur, yang akhirnya berjaya meningkatkan infrastruktur ICT dan ketersambungan, didapati masih ketinggalan dalam penunjuk utama yang boleh mempengaruhi kedudukan mereka dalam ekonomi digital, seperti mempunyai jumlah pengguna Internet paling rendah.


Di peringkat global, lebih separuh isi rumah di seluruh dunia kini mempunyai akses kepada Internet, meskipun kadar pertumbuhan jatuh di bawah lima peratus setahun.


Laporan itu turut mengesahkan kemajuan yang ketara dari segi merapatkan jurang digital antara jantina di seluruh rantau.


Untuk memperoleh manfaat revolusi digital, semua negara perlu memudahkan penggunaan rangkaian dan perkhidmatan infrastruktur generasi akan datang, selain mengguna pakai polisi yang kondusif terhadap eksperimentasi serta inovasi, namun pada masa sama, mengurangkan kemungkinan risiko terhadap keselamatan maklumat, privasi dan pekerjaan, kata laporan itu.


Tahun ini, Iceland berada di kedudukan teratas ranking Indeks Pembangunan ICT ITU diikuti Korea Selatan dan Switzerland manakala Eropah mempunyai nilai skor purata tertinggi dalam kalangan semua rantau di dunia. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]