'Pelanggan lebih hormat pekerja bertudung'

in Nasional by


KUALA TERENGGANU – Pemakaian tudung dalam kalangan pekerja wanita di bahagian khidmat pelanggan di hotel tidak menjejaskan operasi kerana kebanyakan pelanggan hotel memahami adat resam dan budaya negara ini termasuk cara pemakaian.


Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah menerima rungutan pelanggan mengenai cara pemakaian kakitangan hotel tersebut, terutamanya isu tudung.


Malah katanya, kebanyakan pelanggan rasa kagum dan berminat apabila melihat kakitangan mengenakan pakaian kebangsaan seperti kebaya dan baju kurung.


“Di Hotel Permai, kami tidak memaksa mereka memakai tudung, sebaliknya beri kebebasan selagi ia tidak melanggar polisi hotel dengan berpakaian sopan dan kemas.


“Apa yang kita alami, mereka lebih menghormati kita. Malah, ada pelanggan yang baru pulang dari pantai berhampiran tetapi mereka memakai selendang kerana hormat budaya kita.


“Biasanya orang luar ada mindset, kalau ke Terengganu dan Kelantan kena bertudung. Jadi saya tidak melihat pemakaian tudung ini akan mengganggu atau mengancam sesiapa,” katanya, semalam.


Menurutnya, Hotel Permai kini mempunyai 118 kakitangan, dengan 65 orang adalah lelaki, manakala 53 orang adalah wanita yang majoritinya bertudung.


Seorang kakitangan Hotel Permai, Nur Hidayah Abd Rahim, 21, yang bertugas sebagai ejen perkhidmatan pelanggan berkata, pelanggan tidak pernah rasa takut atau memandang rendah ketika berurusan dengannya dan rakan lain.


“Pernah sekali saya berurusan dengan pelanggan lelaki dari Brazil. Pintu biliknya tak boleh ditutup, jadi saya minta kebenaran untuk masuk ke dalam untuk lihat apa masalah yang berlaku.


“Tetapi, dia ambil keputusan untuk berada di luar bilik sementara saya berada di dalam biliknya, kerana hormati saya. Jadi, saya tak nampak kenapa pemakaian tudung menjadi isu kerana ia sebenarnya lebih membuatkan orang hormat kepada kita,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]