Pembantu kedai makan meninggal dunia tepi sungai

in Edisi Terengganu by


KUALA BESUT – Seorang pembantu kedai makan, meninggal dunia dipercayai akibat masalah kesihatan ketika berada di tepi sungai Muara Kuala Besut, di sini, pagi tadi.


Mangsa, Napi Che Lah, 51, dikatakan mengalami batuk kronik sebelum tersungkur di atas pasir tidak jauh dari gigi air di situ kira-kira jam 8.30 pagi.


Isteri mangsa, Noriani Ismail, 47, berkata, ketika kejadian suaminya sedang bekerja sebagai pembantu warung ikan bakar berhampiran Pejabat Taman Laut Malaysia di situ.


Menurutnya, dia ketika itu yang berada di rumah kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian menerima panggilan memberitahu suaminya rebah dan telah meninggal dunia.


“Saya diberitahu oleh seseorang bahawa suami saya rebah  berhampiran kedai tempat dia bekerja, saya kemudian bergegas pergi ke tempat kejadian dan dapati suami saya terbujur kaku di situ,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Program  Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pantai, di sini, hari ini.


Noriani berkata lagi, sebelum pergi ke tempat itu, suaminya mengalami batuk teruk lalu dia pergi ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 25 meter dari kedai tempat dia bekerja untuk muntah.


Menurutnya, batuk suaminya keluar bersama darah dan kemudian dia dikatakan mahu ke gigi muara untuk berkumur dan membasuh muka tetapi tiba-tiba dia jatuh dengan muka tersungkur di atas pasir.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]