Pusat percetakan al-Quran dijangka siap akhir tahun

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Projek pembinaan pusat percetakan al-Quran ‘Kompleks Nasyrul Quran’ di Putrajaya dijangka siap sepenuhnya untuk beroperasi pada 31 Dis ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata fasa pertama projek pembinaan kompleks berkenaan telah siap sepenuhnya dan operasinya dirasmikan pada 13 Jun lalu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Menurutnya, tapak projek itu adalah di atas tanah seluas 5.514 ekar di Presint 14 yang disediakan oleh Perbadanan Putrajaya dan mula dibina pada 15 April tahun lalu. Bagi fasa pertama, kilang percetakan al-Quran mempunyai 14 buah mesin cetak dan kerja-kerja percetakan sudah dimulakan.


“Sebanyak 275,000 tempahan untuk cetakan naskah al-Quran dan lain-lain cetakan berkaitan.


“Fasa kedua pula melibatkan pembinaan pejabat, galeri dan dewan utama. Pembinaannya telah mencapai 78.4 peratus siap.


“Berdasarkan kepada kemajuan kerja semasa, pembinaan dijangka siap sepenuhnya untuk beroperasi pada 31 Dis ini,” katanya semasa menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (Pas-Kubang Kerian) mengenai perkembangan pusat percetakan al-Quran yang diumumkan kerajaan selaras dengan kelulusan bajet RM30 juta pada 2015.


Jamil Khir berkata Kompleks Nasyrul Quran merupakan inisiatif kerajaan bersama Yayasan Restu seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2015.


Pembangunan kompleks tersebut dikawal selia oleh Lajnah Pemegang Amanah Kehormat yang dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kewangan, Perbadanan Putrajaya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Yayasan Restu sebagai sekretariat.-Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]