Rahmad tunggu kata putus PBSNT

in Sukan by


PENGENDALI T-Team, Rahmad Darmawan mengakui sedikit terkilan selepas mengetahui skuad kendaliannya itu bakal berdepan ‘turun pangkat’ ke Liga Perdana musim depan selepas usaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melakukan penjenamaan semula dua pasukan dari Terengganu dalam kancah Liga Malaysia musim depan.


Menurutnya, walaupun masih belum ada hitam putih yang mengesahkan perkara itu, namun ia sudah heboh diperkatakan di media sosial.


“Malah saya tahu hal ini pun melalui media sosial semalam dan sememangnya keputusan ini mengejutkan bukan saya sahaja bahkan semua pihak khususnya penyokong T-Team.


“Bagaimanapun selaku ketua jurulatih saya telah melakukan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan mempertahankan maruah T-Team untuk terus kekal bersaing di Liga Super musim depan,” katanya ketika ditemui di pejabat pengurusan T-Team di sini, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Penyokong bantah T-Team turun liga]


Mengulas lanjut, ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu mengakui telah mempunyai perancangan rapi dalam memantapkan lagi skuad The Titans bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.


Katanya, dia telah mempunyai gambaran barisan pemain tempatan dan tonggak import yang akan membawa cabaran T-Team, selain mengetengahkan bakat-bakat muda dalam pasukan.


“Apa pun saya masih masih mempunyai kontak bersama pasukan sehingga musim depan dan menunggu kata putus putus  daripada pasukan ini sebelum membuat keputusan hala tuju kedudukannya selaku ketua jurulatih.


“Kalau T-Team kekal bermain di Liga Super, saya akan terus bersama pasukan, tetapi sekiranya bermain di Liga Perdana berkemungkinan  sebaliknya akan berlaku,” katanya.


Rahmad mula membimbing  T-Team sejak penghujung Disember 2015 dan melepasi ujian pertamanya dengan mengembalikan semula skuad The Titans ke persada Liga Super selepas menumpaskan ATM dalam aksi ‘play off’ 2-1 di Stadium Ipoh, Perak pada  30 Januari 2016  setelah semusim berada Liga Perdana.


T-Team turut melakarkan pencapaian terbaiknya untuk musim 2016 dengan melayakkan diri ke saingan separuh akhir Piala Malaysia selepas mengetepikan cabaran Felda United dalam aski suku akhir sebelum tunduk kepada Selangor.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]