Sedia hadapi bencana banjir

in Edisi by


GONG BADAK – Kerajaan negeri bersiap sedia sepenuhnya untuk hadapi sebarang kemungkinan banjir berikutan musim peralihan monsun ketika ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, persediaan itu merangkumi kelengkapan logistik, anggota penyelamat dan sebagainya.


“Kita berpengalaman menghadapi banjir besar di beberapa daerah di negeri ini dan paling teruk di Kemaman pada akhir 2015 dan Hulu Terengganu pada Disember tahun lalu.


“Berdasarkan pengalaman itu, Terengganu matang dalam menghadapi situasi banjir sehingga Terengganu dinobatkan negeri paling bagus dalam pengurusan banjir, jadi kita kekalkan dan pastikan pengurusan tahun ini akan lebih baik.


“Bagaimanapun, dalam masa yang sama kita amat berharap agar penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko untuk sentiasa bersiap sedia dan mendengar arahan pihak berkuasa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Khatam Al-Quran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Negeri Terengganu Tahun 2017 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, di sini.


Menurut Ahmad Razif lagi, sebagai persediaan juga simulasi banjir diadakan di lokasi-lokasi yang biasa berlaku bencana selain tindakan secara manual sudah dikeluarkan kepada jentera pengurusan banjir di setiap daerah.


Katanya, agensi penggerak utama seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bersedia sepanjang tahun baik dari segi kekuatan keanggotaan dan kelengkapan bagi berdepan sebarang bencana alam atau kemalangan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]