Sembunyi atas siling elak dicekup polis

in Semasa by


PASIR MAS – Seorang pengedar dadah dicekup polis ketika bersembunyi di atas siling rumahnya dalam serbuan di Kampung Bechah Tendong di sini Selasa lalu.


Lelaki berkenaan yang baharu sahaja keluar dari penjara awal Ogos lalu dicekup pada jam 2 pagi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintanden Ismail Jusoh berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan lima botol dadah dipercayai heroin dalam sebuah beg silang milik suspek.


“Pemeriksaan lanjut juga membawa kepada penemuan 60 biji pil kuda.


“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai bergiat aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lalu.


“Sebelum ini pernah menjalani hukuman selama setahun berkaitan dengan bahan terlarang itu,” katanya.


Menurutnya, suspek turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkait dengan dadah.


Katanya, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis meth dan opiat.


“Rampasan ini melibatkan nilai berjumlah RM10,600,”katanya.


Ismail berkata, Polis Pasir Mas akan terus menggiatkan lagi operasi membanteras kegiatan berkenaan.


Katanya, sejak Januari hingga awal November, polis berjaya lumpuhkan enam buah sindiket pengedaran dadah.


“Kebanyakkan suspek yang terlibat dengan aktiviti ini berusia antara 20 hingga 40 tahun,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, pihaknya turut berjaya menangkap dua lelaki berusia 24 dan 35 tahun yang terlibat dalam kes pecah rumah serta kereta.


Katanya, suspek tersebut di tangkap dalam serbuan di Kampung Belukar dan Tong.


“Hasil siasatan awal mendapati suspek telah melakukan empat perlakukan jenayah iaitu satu pecah rumah dan tiga kereta


“Kesemua kegiatan haram itu dilakukan pada 14 November lalu,”katanya.


Ismail berkata, suspek direman selama empat hari sehingga 18 November bagi membantu siasatan.


Katanya, kedua-dua suspek itu turut positif dadah jenis methamphetamine.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]