Tiada masalah staf berhijab, peka isu sensitiviti agama

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Kakitangan bebas untuk mengenakan tudung atas kehendaknya sendiri dan pengurusan hotel menghormati isu-isu berkaitan keagamaan.


Ketua Komunikasi Pemasaran Hotel Renaissance Johor Bahru, Hezrin Ali berkata, sebagai sebuah negara Islam, pengurusan hotel peka isu berkaitan sensitiviti agama.


“Kita tidak meletakkan syarat bagi mana-mana pekerja bertudung untuk berkhidmat di hotel ini, malah kita mempunyai petugas hadapan yang bertudung mengikut kelayakan dan profesion masing-masing.


“Berdasarkan nisbah jabatan, kira-kira 8:10 adalah pekerja bertudung, antaranya di bahagian dapur, pengemas bilik dan juruwang yang berurusan dengan pelanggan secara langsung,” katanya.


Hotel yang beroperasi di bandar raya itu sejak 2013, mempunyai 345 bilik penginapan adalah rangkaian Marriot Hotel berstatus lima bintang.


Sementara itu, Pembantu Pengurus Eksekutif di Hotel Msuite Johor Bahru, Mohd Faizal Sulaiman berkata, pihaknya menggalakkan pekerja wanita, khususnya di bahagian dapur memakai tudung.


“Sebagai sebuah hotel milik Bumiputera dan kita menghormati Malaysia adalah sebuah negara Islam, pengurusan hotel tidak mempunyai masalah untuk pekerja mengenakan tudung meskipun di bahagian petugas hadapan.


“Malah kita menggalakkan pekerja wanita ini bertudung di bahagian dapur bagi memastikan kebersihan dalam persiapan makanan,” katanya.


Akuinya, sepanjang 15 tahun hotel itu beroperasi, pihaknya tidak terima aduan atau rungutan pelancong, mengatakan tidak selesa dilayan pekerja bertudung.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]