11 kali dilanda banjir dalam tempoh sebulan

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Bukan sekali tetapi 11 kali terpaksa berdepan banjir dalam tempoh sebulan.


Itu situasi terpaksa dihadapi kira-kira 200 keluarga di Kampung Alor Gunung, di sini, apabila rumah mereka ditenggelami banjir buat kali ke-11 bulan ini.


Tinjauan mendapati, air naik sehingga paras 0.3 hingga 0.5 meter (m) hingga menyukarkan penduduk untuk melakukan kerja dan aktiviti harian.


Difahamkan, masalah banjir yang tiada kesudahan itu berpunca daripada aliran air tersekat hingga melimpah ke rumah penduduk susulan dakwaan ada penghadang diletakkan dalam sungai berdekatan.


Penduduk,Ishak Ahmad, 65, berkata, walaupun hujan tidak lebat, namun rumah penduduk tetap dinaiki air dari sungai itu.


“Air naik terlalu cepat, sampai kami takdan buat apa. Adakalanya, hujan tak turun pun, tetapi air penuh juga. Masuk ni, sudah bebelas kali, sampai pak cik tak terkira. Dia naik dalam tiga hari, turun sat, pastu tengok-tengok ada balik,” katanya.


Disebabkan kepenatan, kata Ishak, dia terpaksa membiarkan peti ais dan perabot lain dalam air kerana tidak mampu mengangkat sendirian.


Malah katanya, ruangan tingkat atas rumahnya sudah penuh dan tidak mampu memuatkanĀ  peralatan lain.


Menurutnya, dia tidak dapat menganggarkan kerugian dialami, disebabkan kerosakan ditanggung terlalu banyak apabila perabot tenggelam.


Susulan itu, penduduk Kampung Alor Gunung merayu tindakan sewajarnya dari pihak berkaitan dalam menyelesaikan masalah banjir dialami mereka.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]