Balai Polis Temerloh ditutup

in Edisi Pahang by


TEMERLOH – Selepas lebih setengah abad beroperasi, akhirnya Balai Polis Temerloh ditutup secara rasmi semalam apabila operasi dipindahkan di balai baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, di sini.


Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, Balai Polis Temerloh berpindah ke IPD Temerloh susulan lokap sedia ada telah diwartakan bermula semalam.


“Balai Temerloh adalah bahagian terakhir yang dipindahkan ke Kompleks IPD Temerloh ini selepas ia siap dibina dan dirasmikan pada 2013. Seramai 48 individu yang sebelum ini ditahan di lokap Balai Polis lama Temerloh turut sama dipindahkan.


“Sebelum ini bahagian narkotik, trafik, pengurusan dan lain-lain sudah berpindah ke bangunan baharu IPD Temerloh secara serentak pada September 2013 sewaktu IPD dirasmikan,” katanya ditemui di IPD Temerloh semalam.


Zundin berkata, jawatan Ketua Balai Polis Temerloh masih disandang Asisten Komisioner Mohd Irwan Ismawi Sapawi dan susulan perpindahan itu semua urusan berkaitan seperti laporan polis yang ingin dibuat orang ramai boleh terus ke IPD Temerloh.


Menurutnya, lokap di balai baharu itu mampu menampung 100 tahanan pada satu-satu masa berbanding lokap di balai polis lama hanya kira-kira 50 tahanan.


Sementara itu, Mohd Irwan berkata, pemindahan ke balai baharu itu meninggalkan banyak kenangan kerana sepanjang berkhidmat dia bertugas di bawah enam ketua polis daerah.


“Ia bermula dengan bekas Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani sewaktu menjadi ketua polis daerah diikuti Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, Mohd Nor Mansor, Abdul Aziz Salleh, Anuar Othman dan sekarang Zundin Mahmood.


“Kalau tak salah saya Balai Temerloh yang lama mula beroperasi pada 1963, lepas itu dibangunkan bangunan kayu di belakangnya sebagai IPD Temerloh 20 tahun kemudian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]