Belia kini tidak tumpu aktiviti berfaedah

in Edisi Sabah Sarawak by


KENINGAU – Teknologi alam siber merupakan bentuk penjajahan baharu yang boleh memusnahkan masa depan generasi akan datang jika penggunaannya tidak dikawal sebaik-baiknya.


Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Sabah Datuk Sairin Karno berkata, bentuk perhubungan melalui media sosial yang menjadi kegilaan golongan remaja masa kini khususnya menerusi laman Facebook, Twitter, Friendster, WhatsApp dan sebagainya, telah membentuk koloni manusia lalai.


“Golongan ini tidak lagi fokus kepada aktiviti-aktiviti tumpuan (aktiviti lebih utama dan berfaedah),” katanya.


Beliau berkata demikian selepas ditemui ketika merasmikan Majlis Kecemerlangan Pejalar-pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gaulan, di sini hari ini.


Sairin berkata, masa depan generasi muda akan musnah jika kecenderungan sedemikian tidak dibendung atau masyarakat alpa sehingga gagal menyedari  kegiatan itu sebagai satu bentuk penjajahan era baharu.


Menurutnya, perubahan gaya hidup yang berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memberi kesan mendalam kepada masyarakat  dan menjadi cabaran terhadap nilai budaya, pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan agama.


“Masyarakat hari ini lebih banyak menghabiskan masa dengan gajet sehingga  meminggirkan nilai silaturahim serta kehormatan sesama sendiri yang jauh berbeza berbanding sebelum ini.


“Mereka meletakkan gajet sebagai keutamaan berbanding interaksi dengan ibu bapa, saudara mara, sahabat atau kenalan … senario ini sangat menakutkan,” katanya.


Justeru, Sairin yang merupakan Adun Liawan berkata, sesuatu yang mendesak perlu dilakukan bagi mengawal keadaan itu manakala ibu bapa perlu memainkan peranan penting mengawal penggunaan gajet di kalangan anak-anak mereka.


Menurutnya, tidak mustahil negara akan kehilangan generasi yang berkualiti jika kecenderungan itu tidak dibendung daripada sekarang. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]