Beri peluang isi jawatan guru agama

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING  – Seorang penyokong kerajaan mahu supaya graduan bidang agama kelahiran Sarawak diberi peluang mengisi jawatan sebagai guru agama yang diwujudkan di sekolah-sekolah di seluruh negeri ini.


Datuk Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng) yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, berkata, Sarawak mempunyai ramai graduan agama yang layak untuk mengisi jawatan tersebut.


Menurutnya, dalam tempoh empat hari lepas, pihaknya berjaya mengumpul 344 senarai nama mereka berkelulusan diploma dan ijazah dalam bidang agama menerusi Facebook, dan nama itu diserahkan kepada Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri, Dr Annuar Rapaee hari ini.    


“Sewajarnya anak Sarawak diberi keutamaan kerana merek lebih faham tentang budaya dan keperluan kita serta keadaan setempat.


“Tujuan kita ialah untuk memastikan graduan-graduan agama kita mendapat tempat. Kita tidak mahu peluang kerja yang ada di negeri ini dibolot oleh orang luar,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.


Juanda berkata pada April lalu, pihaknya menyerahkan lebih 100 nama kepada Kementerian Pendidikan, namun hanya 46 diterima sebagai guru agama.


Sehubungan itu, menurutnya adalah wajar kerajaan negeri dan pusat memberi perhatian dalam perkara tersebut dengan memberi keutamaan kepada graduan dalam kalangan anak Sarawak.


Sementara itu, Annuar berkata senarai nama graduan itu akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri dan pusat, selepas ini.


Bagaimanapun, katanya calon-calon perlu melalui prosedur yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran bagi mengisi jawatan berkenaan. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]