Cermin usaha kerajaan mulakan ekonomi digital

in Nasional by


KUALA LUMPUR  – Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tertinggi negara dalam tempoh tiga tahun pada suku ketiga tahun ini mencerminkan terutamanya langkah kerajaan memulakan ekonomi digital, kata seorang penganalisis.


Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ekonomi digital, iaitu e-dagang dan membeli belah dalam talian, antara lainnya, merupakan antara pemangkin utama yang memberi sumbangan besar kepada perbelanjaan pengguna.


“Pada pandangan saya, keputusan untuk memulakan ekonomi digital terbukti menjadi keputusan terbaik yang dibuat kerajaan, yang telah membawa kepada pertumbuhan ekonomi kukuh setakat ini.


“Seperti yang dapat kita lihat, e-dagang dan membeli belah dalam talian mencatatkan prestasi memberangsangkan,” katanya kepada Bernama.


Bank Negara Malaysia hari ini mengumunkan KDNK bagi Suku-3 tumbuh sebanyak 6.2 peratus, pertumbuhan tertinggi sejak suku kedua 2014 pada 6.5 peratus.


Nazri berkata sentimen positif itu boleh juga menjadi menjadi titik perubahan bagi kerajaan untuk mengurangkan hutang isi rumahnya pada masa depan.


Sementara itu, Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, memberi tahu Bernama pertumbuhan kukuh KDNK pada Suku-3 itu sejajar dengan unjuran, memandangkan kebanyakan petunjuk bagi pengeluaran perindustrian, jualan pembuatan, perkhidmatan dan eksport mengekalkan prestasinya atau bertambah baik berbanding suku kedua.


“Pertumbuhan KDNK itu mengatasi angka 5.8 peratus pada suku kedua seperti yang diunjurkan,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]