‘Dia hanya boleh duduk, baring’

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Ikut kata doktor penyakit anak saya ni satu-satunya di Johor dan jika di negara ini pula tak sampai 10 orang penghidapnya,” kata Rosnani Mastor, 46.


Rosnani merupakan ibu kepada Muhamad Aliff Ameer Ismail, 11, yang menghidap penyakit duchenne muscular dystrophy iaitu seseorang individu itu tidak mempunyai otot pada anggota badannya.


Menurut Rosnani, dia dan suaminya, Ismail Omar, 52, mengesan penyakit dihidapi Muhamad Aliff ketika anaknya berusia setahun dan ketika itu perkembangannya tidak seperti bayi normal yang lain.


Katanya, pada waktu itu Muhamad Aliff tidak mampu meniarap dan merangkak namun pada usianya setahun enam bulan dia sudah pandai berjalan tanpa melalui proses seperti bayi lain.


“Tapi tak lama lepas tu tiba-tiba saja dia tak mampu bergerak. Lepas dia disahkan hidap penyakit ni, sedikit demi sedikit keupayaannya untuk bergerak makin hilang. Ia bermula dengan tak boleh berjalan.


“Kini dia nak angkat tangan pun susah. Muhamad Aliff hanya mampu baring dan duduk saja.


“Dia nak makan kami suapkan, termasuklah urusan harian yang lain kami uruskan seperti tukar pakaian dan bersihkan dirinya.


“Tapi alhamdulillah kalau dia nak buang air, dia masih mampu merasainya dan akan panggil kami. Jadi kami akan tolong dia. Di sekolah pun begitu juga, dia akan bagi tahu cikgu jika dia nak buang air kecil,” katanya kepada Sinar Harian.


Rosnani berkata, anak bongsunya itu kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Batu Pahat.


Tambahnya lagi, apa yang membimbangkan mereka sekeluarga adalah tiada ubat yang boleh diberikan kepada Muhammad Alif, selain doktor turut menjangkakan umurnya yang boleh bertahan sekitar lima tahun sahaja lagi.


Katanya, buat masa ini dia dan suami akan berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuat rawatan terapi kepada Muhammad Aliff, memandangkan hanya di hospital berkenaan yang mempunyai kepakaran dan kemudahan untuk merawatnya.


“Buat masa ni tiada ubat khusus untuk anak saya. Namun saya harap kepada sesiapa yang tahu tempat yang ada rawatan alternatif untuk penyakit ni, agar boleh beritahu saya untuk saya cuba merawatnya,” katanya.


Dalam pada itu, masalah kesihatan yang ditanggung oleh Muhamad Aliff turut mendapat perhatian Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat, yang hadir membuat lawatan dan memberikan bantuan.


Menurut Ketua Bironya, Mohd Hamidi Mad Tap, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan untuk mencari rawatan yang sesuai dan kepada yang mempunyai maklumat mereka boleh berhubung dengan biro.


“Saya di biro kebajikan ini juga sedang berusaha untuk bantu keluarga ini, walaupun menurut doktor tiada ubat mampu menyembuhkan penyakit berkenaan tetapi sekurang-kurangnya kita perlu berusaha,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]