Gesa terangkan penetapan harga mingguan

in Nasional by


ALOR SETAR – Kerajaan diminta bersikap telus dan bersedia memperincikan mekanisme penetapan harga minyak mingguan kepada umum, bagi membolehkan rakyat memperoleh maklumat sebenar.


Ini susulan, kejatuhan harga minyak dunia tidak memberi kelegaan kepada rakyat negara ini yang masih berdepan dengan kenaikan harga runcit minyak.


Saranan itu dicadangkan Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah yang mahu kerajaan lebih telus dalam menyalurkan maklumat berkaitan penetapan harga minyak.


“Nampak seperti tidak kena, apabila harga minyak dunia turun, harga dalam negara naik. Bagaimana pengiraan yang dilakukan kerajaan kerana masih tidak mampu tawarkan harga rendah apabila kos ditanggung kerajaan menurun,” katanya.


Amiruddin yang juga Adun Anak Bukit mempersoalkan sama ada kerajaan menyerapkan perbezaan harga minyak dunia dengan runcit kepada kantung kerajaan, dan tidak menyalurkan lebihan itu kepada rakyat.


“Jika harga dunia menurun, harga minyak mungkin dapat dikurangkan atau salurkan subsidi semula kepada rakyat. Ketetapan harga mingguan hendaklah diperjelas supaya rakyat memahami aturannya dan boleh terima mekanisme itu sekiranya tiada jalan lain untuk bantu rakyat,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]