'Jom debat, jangan sembunyi belakang Tun M'

in Politik by


SHAH ALAM – Kamarulazman Habibur Rahman mengulangi cabarannya kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk berdebat mengenai perjuangan dan hala tuju Bersatu .


Bekas Penaja Bersatu itu berkata, sebelum ini beliau pernah mencabar Mukhriz  untuk berdebat dalam satu forum 17 November 2017 namun  Timbalan Presiden Bersatu itu diam  seribu bahasa.


“Beliau seolah-olah menyorok di belakang bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagi saya masyarakat perlu mendapat maklumat sebenar tentang perjuangan dan hala tuju Bersatu dan adakah parti yang baru ditubuhkan ini menepati citarasa rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, sebagai salah seorang penaja Bersatu, beliau mula mencurigai matlamat perjuangan beberapa pemimpin dalam parti ini dan mendapati bahawa ia terpesong daripada matlamat asal penubuhannya.


“Mukhriz perlu mengemukakan hujah sama ada Bersatu merupakan wadah yang relevan dengan tujuan pemantapan bangsa Melayu secara khususnya dan Malaysia secara amnya untuk mengemudi masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya.


Beliau berkata, Mukhriz juga perlu memberitahu rakyat bahawa Bersatu mempunyai segala kekuatan dan ‘ramuan’ ditagih oleh bangsa Malaysia atau adakah perjuangan Bersatu merupakan omong kosong yang tidak berisi.


Katanya, beliau sekali lagi mencabar Mukhriz untuk berdebat dengannya pada tajuk ‘Bersatu dan politik Budaya Bangsa’.


“Saya mencadangkan agar debat ini diadakan pada 22 November 2017,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan Mukhriz membawa bersama Setiausaha Agung Datuk Dr Shahruddin Md Salleh atau Ketua Penerangan Bersatu Datuk Kamarudin Mohd Noor pada debat tersebut.


“Saya sedia berseorangan dalam menegakkan hujah-hujah saya,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]