Jual ayam goreng cuma seringgit

in Edisi Johor by


KOS hidup yang semakin meningkat membuatkan sepasang suami isteri di Taman Merdeka, Pontian nekad menjual ayam goreng dengan harga cuma RM1.


Nor Raudhah Murad, 26, berkata, walaupun dia dan suami, Mohd Nadzri Md Salleh, 26, tiada pengalaman, kegigihan mereka mencuba menghasilkan beberapa kali resipi ayam goreng akhirnya membuahkan hasil.


Menurutnya, ayam goreng pedas yang dikenali sebagai Ayam Goreng Spicy Ponti itu kini menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai biarpun hanya dijual menggunakan laman sosial Facebook dan WhatsApp.


“Setiap hari lebih 200 ketul ayam goreng dijual. Saya sendiri akan hantar ayam goreng yang ditempah kepada pelanggan.


“Mulanya ramai tak percaya dengan harga yang kami jual. Walaupun murah, kualiti dan rasa ayam sentiasa diutamakan. Ini terbukti apabila ramai pelanggan yang mengulang tempahan dengan kami,” katanya.


Mula perniagaan dengan modal kecil


Nor Raudhah berkata, dengan modal permulaan sebanyak RM60, dia memulakan perniagaan tersebut selepas berhenti kerja sebagai pengurus acara di sebuah syarikat minuman ringan di bandar Pontian.


“Modal itu saya guna untuk beli dua ekor ayam. Selepas digoreng, saya cuba jual kepada rakan-rakan. Respons diberikan amat baik dan mereka mahu saya jual lagi ayam goreng kepada mereka.


“Kemudian dari situ timbul idea untuk jual ayam goreng RM1 ini di Facebook dan WhatsApp. Percubaan pertama saya tak mengecewakan apabila 70 ketul berjaya dijual,” katanya.

Nor Raudhah dan suami, Mohd Nadzri mengusahakan perniagaan Ayam Goreng Ponti sejak sebulan lalu.


Menurutnya, dia dan suami terus mengatur langkah meningkatkan jumlah pengeluaran memandangkan tempahan yang diterima semakin meningkat.


Rutin harian pasangan itu bermula seawal jam 5 pagi dengan mengambil bekalan ayam mentah dari pasar borong.


“Ayam akan dibersihkan dan diperap dengan resipi olahan kami sendiri. Proses menggoreng dibuat di rumah bermula jam 9.30 pagi. Kemudian saya akan hantar tempahan pada sebelah tengah hari.


“Kerja-kerja menggoreng ayam diteruskan sehingga jam 6 petang bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tidak putus-putus,” katanya.


Hantar sendiri tempahan kepada pelanggan


Bercerita lanjut mengenai perniagaannya yang diusahakan sejak hampir sebulan lalu, Nor Raudhah berkata, dia sendiri yang menghantar tempahan kepada setiap pelanggannya.


Katanya, secara tidak langsung dia boleh bertanya secara terus kepada pelanggannya mengenai rasa dan kualiti ayam gorengnya.


“Perniagaan ayam goreng RM1 masih baru, jadi saya mahu pelanggan berpuas hati dengan rasa dan kualiti ayam goreng yang mereka tempah.


“Setakat ini saya hanya buat penghantaran di Pontian termasuk Pekan Nanas. Ada juga yang mahu saya hantar ke Johor Bahru,” katanya.


Mahu miliki gerai sendiri


Melihat sambutan luar biasa, Nor Raudhah berkata, dia dan suami merancang untuk membuka gerai sendiri bagi membolehkan orang ramai merasai sendiri keenakan ayam goreng menggunakan resipi air tangan istimewanya.


“Saya lihat perniagaan ayam goreng ini mempunyai potensi untuk berkembang,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]