Latihan SAR, antirompakan kukuh pertahanan perairan

in Nasional by


LUMUT – Latihan Maritim Carilamat (SAR) dan Anti Rompakan antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) bersama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) mampu mengukuhkan koordinasi menjaga perairan negara.


Pengarah Perintah, Kawalan, Komunikasi dan Maklumat (C3I) Maritim Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, latihan bersepadu julung kali itu diadakan selama empat hari bermula Selasa lalu di perairan Pulau Sembilan di sini.


Beliau berkata, latihan itu antara lain bertujuan memantap dan menyelaras kedua-kedua agensi itu bagi memastikan sebarang operasi menyelamat berjalan dengan lancar.


“Maritim dan TLDM seperti isi dan kuku, yang mana saling memerlukan antara satu sama lain tetapi tujuan kita adalah sama iaitu menjaga rakyat dan negara,” katanya ketika berucap pada penutup majlis tersebut di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.


Latihan itu akan diteruskan dari tahun ke tahun sebagai antara ruang interaksi sesama agensi selain memantapkan ilmu pengetahuan serta kecekapan kesemua anggota pada masa akan datang.


“Kita akui terlalu banyak kelemahan pada latihan kali pertama ini yang boleh kita atasi bersama dan ini adalah aspirasi pucuk pimpinan kedua-dua perkhidmatan sebagai langkah pertama dalam mengatur strategi dan cara proses kerja lebih cemerlang.


“Latihan ini, bagaimanapun boleh menjadi teras panduan untuk operasi di laut dengan lebih koordinasi dan teratur selain menjayakannya dengan sempurna,” katanya.


Latihan tersebut disertai Kapal Diraja (KD) Laksamana Hang Nadim, Kapal Tunda Diraja (KTD) Penyu dan bot CB 90 dari TLDM, manakala Maritim menghantar Kapal Maritim (KM) Marlin, KM Nyalau dan Penggalang 13.  


Seramai 62 anggota Maritim dan TLDM terlibat dalam latihan tersebut yang dibahagikan kepada empat fasa antaranya menyelamat kapal yang dirampas serta rondaan bersama mengikut senario eksesais. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]