Naik turun harga minyak jadi penentu undi PRU14

in Nasional by


SHAH ALAM – Pas mendakwa harga minyak akan menjadi penentu undi rakyat dalam PRU14 nanti.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan ini dapat dinilai menerusi reaksi kemarahan rakyat sejurus sahaja kenaikan harga minyak Rabu lalu.


“Apakah harga minyak ini penentu undi rakyat di PRU14 mengatasi Bajet 2018? Jika dinilai melalui kemarahan rakyat di media sosial pada waktu ini, nampaknya ya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Rabu lalu, mengumumkan harga runcit mingguan bagi petrol RON95 meningkat 7 sen, menjadi RM2.38 seliter dari RM2.31.


Petrol RON97 pula naik 6 sen, menjadi RM2.66 dari RM2.60 seliter. Harga diesel pula naik 5 sen, menjadi RM2.25 dari RM2.20.


Kesemua harga baharu itu berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 22 November depan.


Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sejarah telah membuktikan bahawa oleh sebab kenaikan harga minyak yang tidak terbendung pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi ia telah memberi kesan kepada BN.


[ARTIKEL BERKAITAN: RON95 naik 7 sen, RON97 naik 6 sen]


“Kenaikan 7 sen RON95 yang membawa nilainya ke RM2.38 seliter mengeluhkan ramai.  


“Harga itu semakin menghampiri harga RM2.70 seliter di zaman Tun Abdullah Badawi yang membuka laluan kepada kehilangan dua pertiga majoriti bagi BN di Parlimen,” katanya lagi.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]