OKP tidak serik ambil dadah, ingkar syarat

in Edisi Terengganu by


BESUT – Kedegilan dan keengganan tiga lelaki yang berstatus Orang Kena Pengawasan (OKP) mematuhi syarat pengawasan yang dikenakan kepada mereka menyebabkan mereka bakal berdepan pula dengan hukuman penjara dan sebat jika didapati bersalah.


Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut, Normayati Mat Nawi berkata, mereka adalah termasuk tujuh penagih yang ditahan menerusi Ops Cegah bagi memburu kes langgar syarat pengawasan sekitar daerah Besut.


Menurutnya, kesemua mereka berusia 19 hingga 52 tahun ditahan di empat lokasi berbeza iaitu membabitkan di Kampung Air Tawar, Kampung Kerandang, Bukit Jeruk dan Jertih.


“Hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis heroin dan metaphetamine (pil kuda).


“Pihaknya kesal kerana individu tersebut bukan sahaja tidak mematuhi syarat pengawasan dikenakan untuk membantu mereka meninggalkan najis dadah tetapi mereka berterusan mengambil dadah,” katanya yang mengetuai operasi tersebut.


Katanya, OKP yang ditangkap itu akan didakwa di bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau sebat tidak lebi tiga sebatan atau kedua-duanya sekali.


Sehubungan itu, beliau menasihati penagih yang diperintah sebagai OKP supaya mematuhi keenam-enam syarat yang termaktub di dalam perintah mahkamah.


“Sekiranya mereka melanggar salah satu daripada syarat, mereka berdepan dengan tindakan undang-undang. Lazimnya kesalahan yang mereka lakukan ialah tidak mengikuti program yang dianjurkan kerajaan (AADK) dan tidak melapor diri sebulan sekali di Balai Polis yang ditetapkan,” katanya.


Beliau berkata, ahli keluarga atau saudara OKP diminta memberi kerjasama untuk memastikan OKP mematuhi syarat ditetapkan.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]