Ringgit kini cerminkan aktiviti ekonomi

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ringgit kini mencerminkan aktiviti ekonomi dan pengukuhan yang sebenar dan tidak lagi dipengaruhi faktor spekulasi.


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, ini merupakan kejayaan daripada langkah-langkah yang diambil pada Mac dalam menangani perdagangan luar pesisir, yang menyebabkan ringgit berada pada tahap yang agak kukuh dan dengan lebih banyak kecairan dalam pasaran.


Menurutnya, ketidaktentuan ringgit telah merosot dan mata wang itu kini antara yang mencatat prestasi terbaik di rantau ini untuk dua suku tahun berturut-turut.


“Mata wang itu telah disokong oleh perkembangan domestik yang positif, bagaimanapun, risiko berterusan berikutan ketegangan  geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara, dan prospek ekonomi yang baik bagi ekonomi utama,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga, di sini hari ini.


Mengenai dasar monetari, beliau berkata ia akan terus menilai keseimbangan risiko berhubung prospek bagi pertumbuhan domestik dan inflasi dan komited untuk menyesuaikan dengan sewajarnya sebaik pertumbuhan kukuh


“Ini apabila jangkaan ekonomi positif, inflasi dalam jangkaan, ketidakseimbangan kewangan tidak meningkat dengan ketara atau menjadi masalah, dan ini akan memberi sedikit kelonggaran untuk menyesuaikan kepada tahap daya saing dasar monetari.”


Mengenai kadar faedah AS, katanya pihak berkuasa AS telah menunjukkan normalisasi kadar faedah dan beberapa bank pusat telah menyesuaikan dengan keadaan tersebut.


“Di peringkat global, setiap pihak perlu menyesuaikan kepada sentimen tersebut tetapi jika anda berada pada kedudukan kukuh seperti di Malaysia apabila pertumbuhan kami agak kukuh, kami mempunyai lebih banyak fleksibiliti dalam melihat kepada dasar kami untuk menyesuaikannya,” katanya.


Muhammad berkata bagi kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia, ia akan diumumkan pada Januari dan kadar tersebut akan berubah bergantung kepada pertumbuhan ekonomi dan inflasi.


Mengenai mata wang kripto, BNM dijangka mengeluarkan garis panduan pada Disember tahun ini dan ia akan meliputi, antaranya, pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, katanya.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]