Seluar khatan idea baharu

in Bisnes by


TIDAK lama lagi, cuti sekolah akan bermula dan sudah pasti akan memberi peluang untuk kanak-kanak melakukan aktiviti riadah bersama keluarga sama ada berkelah, melancong mahupun pulang ke kampung.


Namun, bagi sesetengah daripada mereka, cuti sekolah juga satu masa yang digeruni, bukan kerana banyak kenduri kahwin, tetapi waktu kebiasaan untuk majlis berkhatan.


Bagi membantu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada kanak-kanak, sebuah syarikat milik tempatan menghasilkan seluar khatan ke dalam pasaran tempatan.


Penyelesaian kepada kanak-kanak aktif


Pengenalan seluar khatan akan memberi penyelesaian kepada ibu bapa yang mempunyai anak aktif.


Hakim Shakir, 27, berkata, zaman sekarang tidak sama seperti dahulu, kanak-kanak sekarang aktif dan mereka tidak suka baring selepas berkhatan.


“Selepas berkhatan, pergerakan mereka terbatas dan mereka tidak suka baring sahaja, jadi dengan adanya seluar ini akan membantu mereka bergerak bebas.


“Dari segi saiz, ianya boleh didapati dalam pelbagai saiz dan kualiti kain yang lembut dan selesa. Rekaan dan corak seluar khatan pun banyak,” katanya.


Jazree Azmir Abdul Jabar, 40, berpendapat bahawa seluar khatan ini merupakan  inovasi yang menarik diketengahkan dalam mengatasi masalah penyembuhan selepas berkhatan.


Menurutnya, harga yang ditawarkan adalah berbaloi dengan kualiti, juga boleh disimpan untuk kegunaan generasi seterusnya.


“Apabila tiba masa untuk khatan anak, sudah pasti saya akan menggunakan seluar khatan ini.


“Pada masa sama akan hebahkan kepada rakan-rakan lain yang akan mengkhatankan anak mereka,” katanya.


Sementara itu, Nurul Hazirah Hasnaa Abdul Halim, 21, berkata, dia melihat seluar khatan itu di Facebook dan terkejut kerana tidak pernah nampak seluar khatan seumpama itu di pasaran tempatan.


“Saya kongsi dan tag rakan-rakan serta saudara mara yang memerlukan seluar khatan itu untuk anak-anak yang akan berkhatan pada musim cuti sekolah tahun ini.


“Saya rasa, klinik dan hospital swasta juga perlu perkenalkan seluar khatan ini kepada pelanggan yang memerlukan,” katanya.


Bantu penyembuhan, mudah dicuci


Seluar khatan diperkenalkan bagi membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka selepas berkhatan.


Baco Medicare Sdn Bhd, Dr Aslan Bacho berkata, seluar khatan didatangkan kain kapas yang selesa dan sistem pengudaraan baik, yang akan membantu mempercepatkan penyembuhan luka.


“Kalau dahulu, sebaik berkhatan, kanak-kanak perlu memakai kain sarung dan berbaring bagi mempercepatkan proses penyembuhan.


“Menyedari kanak-kanak hari ini aktif, kami tampil memberikan kemudahan kepada mereka untuk bergerak bebas tanpa perlu baring sehingga luka sembuh dan berharap ia dapat diterima oleh orang ramai,” katanya yang menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) produk pada awal tahun ini.


Menurutnya, dengan menggunakan seluar khatan, proses sembuh adalah antara 14 hingga sebulan berbanding biasa tiga minggu sehingga sebulan lebih.


Katanya, seluar khatan ini disasarkan kepada kanak-kanak lelaki dan sesuai digunakan bagi semua jenis proses berkhatan.


Mengulas berhubung proses penjagaan, Aslan berkata, seluar khatan itu hanya perlu direndam dengan air sabun dan bilas.


Seluar khatan ini berada di pasaran sejak dua bulan lalu dan dijual secara atas talian dengan harga RM39 sepasang.


“Sasaran kami bagi permulaan adalah untuk pasaran sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, tetapi kami turut menerima permintaan dari Johor dan Sabah.


“Selain itu, seluar khatan ini juga boleh didapati di klinik swasta terpilih yang turut menawarkan perkhidmatan khatan,” katanya.


Setakat ini, syarikat itu telah dijual sebanyak 100 unit bagi pengeluaran pertama dan menyasarkan kira-kira 80 peratus akan menggunakan seluar khatan ini pada masa akan datang.


Bagaimanapun, Aslan berkata, cabaran utama adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang manfaat dan kelebihan seluar khatan ini kepada orang ramai.


Berdasarkan maklum balas orang ramai, Baco Medicare akan mempertimbangkan untuk menghasilkan seluar khatan dewasa jika ada permintaan.


“Kami akan sentiasa menambah baik seluar khatan ini mengikut maklum balas pelanggan bagi menghasilkan produk yang lebih baik,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]