SINAR4ROHINGNYA agih RM220,600 dana kepada empat NGO

in Nasional by


SHAH ALAM – Sebanyak RM220,600 dana menerusi kempen SINAR4ROHINGNYA diagihkan kepada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meneruskan bantuan khusus kepada kumpulan pelarian Rohingnya di Bangladesh.


Daripada jumlah itu, kira-kira RM99,000 diserahkan kepada Yayasan Amal Malaysia, RM43,800 diterima Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), RM40,000 untuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), manakala Serantau Muslim menerima, RM37,800.


Menurut Pengurus Besar Yayasan Amal Malaysia, Salleh Farmin berbekalkan dana itu, kira-kira 150 buah tempat perlindungan akan dibina untuk lebih setengah juta pelarian yang berlindung di Cox Bazar.


“Kami fokus kepada kediaman memandangkan mereka memerlukan tempat perlindungan bagi menghadapi musim sejuk yang melanda pada Disember ini.


“Kami jangkakan 150 tempat perlindungan ini siap dalam masa sebulan, dan pasukan kami akan berangkat pada 27 November ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek sumbangan di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.


Ketua Biro Misi Kemanusiaan Haluan, Dr Baharuddin Suri pula berkata, menerusi dana hasil sumbangan rakyat negara ini, banyak bantuan yang boleh disalurkan kepada etnik Rohingya yang kini sedang menderita di Kem Pelarian Balukhali, Bangladesh.


“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH pasukan kami mendapat sumbangan dana daripada SINAR4ROHINGYA.


“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk teruskan menyalurkan sumbangan kepada tabung  SINAR4ROHINGYA kerana mereka benar-benar memerlukan bantuan kita,” katanya.Jelas Baharuddin, melalui peruntukan itu, pihaknya akan menyediakan set kebersihan dan penjagaan diri buat pelarian Rohingya.


Sementara itu, Pegawai Tugas Khas Presiden Mapim, Ahmad Syahir yang turut menerima cek sumbangan menerusi Tabung SINAR4ROHINGYA turut menzahirkan perasaan yang sama.


Katanya, pihaknya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak henti-henti memberi sumbangan buat pelarian Rohingya yang memerlukan.


“Mereka kini dalam keadaan terdesak dan tertekan, besar harapan kami agar rakyat Malaysia teruskan beri sumbangan,” katanya.


Mapim akan menyediakan satu unit penapis air kepada 200 keluarga di sekitar Asian Village dengan harapan mereka mendapat bekalan air bersih serta dapat mengurangkan risiko penyakit bawaan melalui air.


Serantau Muslim pula akan menyediakan projek bantuan ekonomi kepada masyarakat Rohingnya berserta selimut tebal untuk menghadapi musim sejuk.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]