Suami terlantar sejak setahun lalu

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang warga emas kini hanya mengharapkan ihsan isteri dan enam anaknya selepas dia terlantar akibat diserang penyakit angin ahmar sejak setahun lalu.


Bagaimanapun, isterinya, Masripah Nasiban, 66, tetap tabah menjaga suami, Kassim Omar, 75, di kediaman mereka di Jalan Pekeliling, Kampung Baru Masai, Masai, di sini.


Menurut Masripah, suaminya sudah tidak berupaya untuk menguruskan diri dan terpaksa memakai lampin pakai buang serta minum susu yang disyorkan doktor sahaja.


“Buat masa ini, saya dan suami tinggal bersama dua anak perempuan yang merupakan suri rumah dan lima cucu termasuk Muhammad Fauzi Osman, 25, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran


“Suami kedua-dua anak perempuan bekerja dan tinggal berjauhan selain pendapatan mereka hanya cukup untuk menampung keperluan keluarga sendiri saja,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menerima barangan keperluan bernilai RM1,000 disumbangkan Pasaraya Econsave yang disampaikan oleh Pengurus Operasi Wilayah Selatan, Mas Imran Adam.


Mengulas bantuan itu, Masripah dan ahli keluarganya  bersyukur kerana menerima sumbangan barangan dapur serta lampin pakai buang serta susu khas yang amat diperlukan oleh suaminya.


“Suami saya memang memerlukan bekalan susu tepung kerana dia hilang selera makan namun saya hanya mampu membelikan beberapa tin saja mengikut kemampuan.


“Oleh sebab hilang selera makan, tubuh suami juga semakin susut malah baru-baru ini dia juga terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana jangkitan kuman di paru-paru,” katanya.


Katanya, dia dan suami ingin memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak mengetahui salurannya.


Sementara itu, Mas Imran berkata, sumbangan tersebut adalah program tanggungjawab sosial korporat dan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga tersebut.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]