Tular minyak percuma palsu

in Edisi Selangor KL by


TANJONG KARANG – Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang membuat laporan polis berhubung tular maklumat palsu mengenai tawaran minyak percuma yang diadakan pada hari ini.


Pemuda Umno bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Parlimen Tanjong Karang, MIC dan MyPPP membuat laporan berkenaan di Balai Polis Tanjong Karang, semalam.


Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang, Maruwan Ahmad menjelaskan, pihaknya terpanggil untuk memberikan kenyataan balas berhubung fitnah yang ditaburkan pihak tidak bertanggungjawab.


“Saya menyedari laman sosial terbabit menyebarkan fitnah yang mengatakan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang akan mengadakan Program Isi Minyak Percuma pada esok hari selepas solat Jumaat.


“Sedangkan pihak Umno Bahagian Tanjong Karang tidak pernah mengadakan program terbabit sekali gus boleh menyebabkan penduduk boleh tertipu dan menyalahkan Tan Sri Noh Omar sedangkan beliau tiada kaitan dalam hal ini,” katanya.


“Sebab itu, kami mengambil senarai nama dan tanda tangan semua ahli sebagai solidariti terhadap isu ini seterusnya memanjangkan perkara sama kepada kementerian berkaitan,” katanya.


Maruwan turut menyifatkan tindakan yang terdapat dalam laman sosial Facebook itu berunsur jahat dan sengaja menyebarkan fitnah bagi memburukkan ketua pemimpin Umno yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


“Gesaan ini penting bagi mengelakkan mana-mana laman sosial Facebook milik persendirian mahupun kumpulan tertentu supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat palsu.


“Tindakan tegas termasuk menyekat laman sosial seumpama itu wajar dilakukan sebagai pengajaran supaya insiden sama tidak berulang,” katanya kepada media di sini.


Teruskan ‘minyak percuma’


Sementara itu, Ketua Penaja Pemuda Amanah Kuala Selangor, Khider Abd Rahim turut terpanggil membuat laporan polis berhubung tularnya maklumat palsu terhadap Amanah Kuala Selangor.


“Kita membuat laporan polis supaya individu yang menyebarkan maklumat palsu terbabit dapat dikenakan tindakan sewajarnya sekali gus membersihkan nama Amanah Kuala Selangor.

Khider menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kuala Selangor.


“Sebelum ini, Pemuda Amanah Kuala Selangor sememangnya berhasrat untuk menjalankan Program Minyak Rakyat bagi meringankan beban dan kos sara hidup penduduk di kawasan ini,” katanya.


Menurutnya, bagaimanapun tular e-poster yang tidak tepat mengenai program terbabit sehinggakan menimbulkan persoalan penduduk bahkan menerima respons cukup meluas.


“Ternyata isu minyak naik ini menunjukkan dasar kerajaan BN yang menekan rakyat begitu terkesan kepada rakyat sehinggakan program minyak rakyat ini mendapat sambutan luar biasa,” katanya.


Kupon terhad 160 motosikal terawal


Setiausaha Pemuda Amanah Kuala Selangor yang juga Pengarah Program Minyak Rakyat, Abdul Hakim Yusri menjelaskan, program sebenar akan diadakan pada Sabtu ini.


“Program yang bermula jam 8.30 pagi sehingga 10.30 pagi ini terbuka kepada 160 motosikal terawal sahaja di Shell Jeram yang mana untuk setiap satu motosikal diberikan RM5.


“Program ini adalah bukti keikhlasan Penyelaras Amanah Parlimen Kuala Selangor, Angkatan Wanita Amanah (Awan) Selangor, Biro Integrasi Awan Kuala Selangor, Pemuda Amanah Kuala Selangor dan NGO, Engage.


Menurutnya, sebagai parti yang inklusif dan peduli, program ‘Minyak Rakyat’ itu diadakan untuk penduduk setempat Jeram dan Kuala Selangor bagi menikmati minyak percuma.


“Baucar atau kupon ‘Minyak Rakyat’ akan diberikan kepada penunggang motosikal di hari program nanti dan berharap penduduk tidak mudah mempercayai viral yang tidak tepat,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]