Tular palsu ribut landa P. Pinang

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai laporan yang tular di media sosial kononnya kejadian ribut besar akan melanda Pulau Pinang dalam tempoh dua hari lagi.


Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.


“Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan kenyataan Nasa (Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat) yang mengesan status ribut dan mengatakan ia akan menjadi ribut besar yang menuju ke Pulau Pinang dalam masa dua hari.


“Mesej itu menyebut supaya memberitahu ahli keluarga untuk tidak keluar dan tinggal di dalam rumah atau beralih ke tempat yang lebih selamat,” katanya kepada media, semalam.

Laporan yang tular di media sosial, baru-baru ini.


Menurutnya, laporan itu turut meminta semua orang di Pulau Pinang supaya berhati-hati.


“Itu adalah berita yang sedang tular dan penafian telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met) pada 9 November lalu.


“Met Malaysia dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya tidak menjangkakan ribut kuat yang dinyatakan dalam tular tersebut akan berlaku di Pulau Pinang,” katanya.


Ujarnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai dan menyebarkan mesej yang belum disahkan kesahihannya.


Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut menzahirkan rasa bimbang terhadap khabar angin tersebut kerana boleh menjejaskan keadaan dan suasana pelancongan.


“Semua tahu bahawa Pulau Pinang sebahagian besar sudah pulih. Kita telah jalankan kerja-kerja pembersihan dan sebahagian besar dari Pulau Pinang sudah pulih kecuali di Bukit Bendera sahaja.


“Kita tidak mahu khabar angin yang boleh menjejaskan iklim pelaburan, perniagaan dan pelancongan.


“Kita tak mahu orang anggap ada masalah kalau datang melancong di Pulau Pinang,” katanya.


Tegasnya, Pulau Pinang adalah selamat untuk orang ramai dan semua aktiviti pelancongan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]