200 anak pokok di tanam di Pantai Batu Burok

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menanam 200 anak pokok di sepanjang Pantai Batu Burok pada program ‘Pledge and Plant A Tree’ sebagai sebahagian daripada aktiviti Festival Bulan Perancangan Nasional 2017 bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017 ( HPBS).


Datuk Bandar Kuala Terengganu, Zulkifli Abu Bakar berkata,  dengan penanaman 200 pokok itu, jumlah anggaran penyerapan karbon adalah 4,000 kilogram setahun.


Menurutnya, selain untuk penyerapan karbon, ia juga sebagai usaha bagi menambah pokok sebagai kawasan teduhan serta benteng terhadap fenomena semula jadi seperti tiupan angin kencang.


“Sebanyak 200 anak pokok melibatkan 150 pokok rhu dan 50 pokok kelapa.  pemilihan lokasi ini adalah kerana pantai Batu Burok merupakan kawasan rekreasi utama masyarakat bandar Kuala Terengganu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada program Car Free Day dan Tanaman Pokok Sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017 di Dataran Batu Burok, hari ini.    


Hadir sama, Ahli Majlis Pertubuhan  Perancang Malaysia (MIP), Datuk Mohd Zaki Ibrahim.


Selain Kuala Terengganu, empat lagi lokasi ialah di Putrajaya; Nilai, Negeri Sembilan; Kulai, Johor dan Kuching, Sarawak turut melakukan perkara yang sama secara serentak semalam.


Dalam pada itu, Ahli Majlis Pertubuhan  Perancang Malaysia (MIP), Datuk Mohd Zaki Ibrahim berkata,  HPBS merupakan satu peluang yang terbaik untuk memartabatkan perancangan daripada perspektif global.


“Ia merupakan satu strategi mengetengahkan kesedaran dan sokongan di kalangan orang awam, para  profesional dalam industri perbandaran serta pembangunan dan semua peringkat agensi kerajaan melalui pelbagai aktiviti setiap tahun.


“Malah setiap tahun juga, MIP akan menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang bulan November melalui National Planning Festival (NPF).  


“Ia bertujuan untuk mengumpulkan para perancang, pengurus bandar, pemaju, ahli profesional, komuniti dan pihak berkepentingan dalam bidang perancangan bandar bagi sama-sama berbincang, berdialog, bertukar pandangan serta merumus hala tuju perancangan yang lebih baik.


“Ia menyokong usaha ke arah pembangunan mampan, persekitaran yang lebih hijau dan meningkatkan penyerapan karbon di kawasan bandar,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]