2,500 sertai larian Jantungku Kesihatanku

in Sukan by


SERAMAI 2,500 peserta daripada pelbagai lapisan peringkat umur menyertai program larian Jantungku Kesihatanku di Taman Cabaran, Presint 5, di Putrajaya hari ini.


Inisiatif itu dianjurkan buat julung kali oleh Pertubuhan Pengamal Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan Malaysia (MOSHPA) bagi memupuk kesedaran pentingnya amalan gaya hidup sihat dalam kesihatan jantung.


Pelepasan peserta yang membabitkan sejauh lima kilometer disempurnakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut hadir Presiden MOSPHA Datuk R.Kanagaraja.


Bercakap kepada pemberita, Kanagaraja berkata larian itu bertujuan untuk menyedarkan masyarakat dan tenaga kerja di negara ini mengenai pentingnya menjaga kesihatan menerusi kegiatan riadah sekali gus menjaga kesihatan jantung.


“Senaman larian contohnya dapat membantu melancarkan peredaran darah dalam badan seseorang,” katanya.


Kanagaraja berkata program itu juga dianjurkan bagi menyebar luas mengenai kepentingan menjaga kesihatan jantung yang menjadi organ utama untuk manusia meneruskan kehidupan.


“Ia diharap dapat mendidik masyarakat daripada pelbagai peringkat dan latar belakang mengenai pengurusan kesihatan jantung sewaktu sihat dan kaedah rawatan serta penjagaan setelah disahkan sebagai pesakit jantung.


Antara pengisian lain bagi program larian hari ini adalah pemeriksaan kesihatan dan mata secara percuma, derma darah serta pameran dan jualan produk penjagaan kesihatan,” katanya.


Beliau berkata, MOSHPA turut mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang mana peserta dari kalangan pegawai keselamatan akan mendapat lima mata di bawah Program Pendidikan Berterusan (CEP) anjuran JKKP.


Ia bagi meningkatkan moral mereka untuk menekankan amalan keselamatan dan kesihatan ketika di tempat kerja, katanya.


Beliau berkata tahun depan pihaknya menyasarkan 3,000 penyertaan untuk larian ini yang banyak memberi manfaat terutama terhadap kesihatan peserta.


Program larian berkenaan turut mendapat tajaan bernilai RM70,000 daripada pelbagai pihak termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat), UDA Holdings Bhd dan Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF). — Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]