Bawa anak ke tempat kerja

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Dua daripada tiga anak saya ni terpaksa saya bawa ke tempat kerja semasa mereka kecil sebab saya tak mampu untuk upah pengasuh,” kata ibu tunggal, Ismawati Mahat, 36.


Ismawati yang mempunyai tiga anak berusia antara 9 hingga 14 tahun terpaksa menjadi ibu dan ayah sejak dia berpisah dengan bekas suami beberapa tahun lalu.


Menurut Ismawati, mujur majikan tempatnya bekerja di sebuah farmasi di sini, memahami situasi yang dialaminya dan tidak menghalangnya membawa anak ke tempat kerja.


Katanya, bagaimanapun kini hanya anak bongsunya, Irsyad Badrishah Isham, 9, yang mengikutnya ke tempat kerja berikutan anaknya yang kedua berusia 12 tahun telah bersekolah.


“Tiada apa yang perlu saya sembunyikan, dengan pendapatan saya sekitar RM1,000 sebulan ni sememangnya tak mencukupi. Semuanya habis digunakan untuk makan dan pakai kami berempat.


“Mujur untuk tempat tinggal, arwah ibu dan ayah ada meninggalkan rumah pusaka untuk kami berteduh. Namun seperti yang sedia maklum ia adalah rumah pusaka dan sudah pasti keadaannya agak tak selesa serta telah dimamah usia.


“Segala kerosakan bermula daripada kecil saya biarkan kerana tak mampu untuk membaikinya, sehinggalah kerosakan itu makin teruk terutamanya di bahagian bumbung dan dapur,” katanya.


Dia ditemui Sinar Harian ketika program Johor Future, yang diadakan di Kampung Muhibbah, Peserai yang turut dihadiri Adun Semerah, Mohd Ismail Roslan dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Batu Pahat, Nor Hashekin Abdul Aziz.


Dalam pada itu, program berkenaan adalah usaha sama Sukarelawan Darul Ta’zim (SDT), Pejabat Belia dan Sukan Daerah Batu Pahat, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Adun Semerah dan penduduk sekitar Kampung Muhibbah, Peserai.


Semasa program berkenaan, bumbung dan beberapa bahagian rumah ibu tunggal terbabit sudah pun dibaiki, dalam masa sama maklumat berkaitan ibu tunggal ini telah diambil untuk bantuan susulan yang lain.


Sementara itu, menurut Mohd Ismail, pihaknya akan sentiasa turun padang membantu golongan kurang berkemampuan dan memerlukan ini supaya mereka tidak tersisih dalam masyarakat.


Katanya, bagi ibu tunggal yang mendapat bantuan daripada program Johor Future ini, beliau kagum dengan kecekalannya membesarkan tiga anak lelaki setelah berpisah dengan bekas suaminya.


“Kita akan semak beberapa bantuan yang layak untuk disalurkan, bagi membantu meringankan beban yang dialami wanita ini yang seorang diri membesarkan tiga anaknya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]