Jiran risau warga emas tidak keluar rumah dua hari

in Edisi by


BATU GAJAH – Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak bermaya di kediamannya sendiri di Taman Gerbang Siputeh, sekitar jam 12.15 tengah hari, tadi.


Lelaki berusia 73 tahun itu dikatakan sudah dua hari tidak keluar rumah menyebabkan jirannya menghubungi anggota bomba bagi tujuan pemantauan.


Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Megat Mohamad Dahari Megat Jamaluddin berkata, pemantauan awal mendapati keadaan pagar dan pintu rumah itu berkunci.


Menurutnya, anggota cuba memanggil penghuni rumah, namun tidak berbalas menyebabkan pintu mangga terpaksa dipecahkan.


“Sebaik anggota kita masuk ke dalam rumah, kita menemui seorang warga emas dalam keadaan lemah duduk di sebuah kerusi malas di bahagian ruang tamu.


“Ketika dihampiri, lelaki itu sedar, namun sedikit terpinga-pinga. Dia hanya berkain pelekat dan terdapat kesan kotoran air kencing di sekeliling tempat duduk itu,” katanya.

Keadaan mangsa yang lemah memerlukannya mendapatkan rawatan lanjut di hospital.


Beliau berkata, anggota cuba mendapatkan maklumat lanjut ahli keluarga untuk dihubungi, namun sukar kerana keadaan mangsa yang sangat lemah.


“Mujurlah dia ditemui lebih awal. Jiran memaklumkan, sudah dua hari mangsa tidak keluar rumah, malah lampu juga tidak terpasang padahal motosikal yang selalu digunakan ada di rumah.


“Anggota kemudiannya bertindak memandikan warga emas itu dan menyalinkan pakaian bersih sebelum diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut di hospital,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]