Julia Roberts berada dalam kelas tersendiri

in Hiburan by

Julia Roberts berada dalam kelas tersendiri


JULIA Fiona Roberts atau lebih dikenali dengan nama glamor, Julia Roberts, bukan bintang asing di persada seni Hollywood.


Mula berjinak di dalam industri seni sejak 1987, nama Julia hanya melonjak naik selepas filem lakonannya, Pretty Woman mendapat sambutan hangat pada 1990.


Biarpun dunia seni Hollywood tidak pernah sunyi dengan kehadiran muka baru, namun nama Julia sudah cukup gah dan berada dalam kelas tersendiri.


Pelakon ini juga pernah menjadi antara selebriti menerima pendapatan tertinggi sebanyak USD139.5 juta (RM436.237 juta) dengan hanya berlakon.


Meskipun kelibatnya dalam industri lakonan tidak serancak dulu, Julia membuktikan dia masih relevan untuk terus berada di dalam industri lakonan.


Bukan itu sahaja, pada usia 49 tahun, Julia sekali lagi dinobatkan sebagai wanita tercantik di dunia (World’s Most Beautiful Woman) pada 2017 oleh majalah People.


Lebih istimewa, ini merupakan kali kelima Julia menerima gelaran itu oleh majalah tersebut.


Akui Julia, dia berasa begitu dihargai apabila sekali lagi dinobatkan sebagai wanita tercantik.


“Ketika kali pertama diberi penghormatan itu selepas filem Wonder Women ditayangkan, saya fikir saya diangkat kerana filem tersebut.


“Tapi bila masuk kali kelima diberi penghargaan sama, saya rasa benar-benar dihargai,” ujarnya.


Wonder ubah hidup Julia


Terbaru, ibu kepada pasangan kembar Hazel Patricia dan Phinnaeus Walter Moder, 13, serta Henry Daniel Moder, 10, muncul menerusi filem terbaru, Wonder.


Filem yang turut dibintangi Owen Wilson dan Jacob Tremblay ini mengisahkan kanak-kanak lelaki, Auggie Pullman,budak yang mengalami kecacatan wajah dan sentiasa di rawat di hospital dalam tempoh beberapa tahun.


Melalui bantuan ibunya, Isabel, dan bapanya, Nate, dia cuba untuk menyesuaikan diri di sekolah baru dan buktikan kepada semua orang bahawa dia seorang budak normal.


Bercerita mengenai filem terbarunya ini, Julia berkata, sebelum terlibat dengan projek filem ini, dia terlebih dahulu pernah membaca novel Wonder yang dibeli menerusi sebuah laman atas talian.


“Ketiga-tiga anak saya amat menyukai jalan cerita novel berkenaan dan saya sering membacakan novel tersebut bersama mereka apabila mereka hendak tidur.


“Tidak lama kemudian, saya dapat tahu bahawa novel ini akan diadaptasi dan saya teruja kerana terpilih membawakan watak ibu Auggie.


“Ia seperti yang selalu saya lakukan apabila membawa novel tersebut untuk anak-anak,” katanya,


Tambah Julia, perjalanan cerita novel ini juga mengubah hidupnya dan dia kini tahu betapa pentingnya untuk setiap individu menggembirakan dan menghormati antara satu sama lain.


“Di dalam filem ini saya memegang watak ibu dan realitinya juga saya seorang ibu. Oleh kerana itu saya sangat tersentuh dengan jalan cerita filem ini.


“Ia bukan sebuah jalan cerita biasa tetapi sarat dengan moral dan nilai murni yang boleh dicontohi dalam kehidupan seharian kita.


“Malah saya juga terapkan nilai positif untuk anak-anak saya bergaul dalam kehidupan seharian mereka,” ujarnya.




 


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]