Kerajaan kekang 'kegiatan lain' nelayan

in Nasional by


KUALA SELANGOR – Kerajaan bercadang mewajibkan pemasangan Sistem Pemantauan Automatik (AIS) pada bot pukat tunda kelas B ekoran kelengahan 50 peratus atau 1,315 pemilik bot untuk memasang peralatan itu walaupun diberi percuma.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sikap kurang endah kumpulan nelayan itu dikhuatiri akan menyukarkan agensi penguatkuasaan atau agensi perikanan menyelamatkan mereka sekiranya menghadapi sebarang masalah di laut.


Beliau berkata, kelengahan nelayan dan pemilik bot jenis itu dipercayai akibat tidak mahu kedudukan mereka dikesan radar agensi berkaitan kerana mungkin menjalankan ‘kegiatan lain’ semasa di laut.


“Saya menyeru semua nelayan bot pukat tunda kelas B segera memasang AIS kerana ia diberi percuma termasuk kos pemasangannya. AIS ini penting kerana ia dapat melindungi mereka kerana data yang terhasil boleh disandarkan sebagai bukti untuk sebarang masalah.


“Ramai lagi masih  tidak pasang tapi bila susah, cari kerajaan juga…jika mereka masih enggan memasang, memadamkan signal AIS atau membiarkannya rosak, ia satu kelalaian yang boleh menyukarkan mereka pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan bagi kawasan Kuala Selangor, hari ini.


Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata setakat ini, enam kes nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa asing kerana didakwa berada di kawasan pertikaian atau sempadan negara lain, berjaya dibebaskan susulan pembuktian daripada data AIS.


Katanya kes seumpama itu sering berlaku di perairan Selangor bersempadan Negeri Sembilan kerana kawasan tersebut masih menjadi tuntutan pertindihan sempadan.


Disebabkan itu, katanya, pemilik bot pukat tunda kelas B disaran segera memasang peranti berkenaan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini apabila kesemua 2,000 bot kelas C yang perlu membeli sendiri alat itu dengan harga RM5,000 telah selesai memasangnya.


Terdahulu, Ahmad Shabery menyampaikan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 kepada 960 penerima bagi kawasan Kuala Selangor dan jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 50,000 nelayan seluruh negara yang layak menerima sumbangan tersebut.


Beliau berkata pemberian seumpama itu tidak berlaku di negara lain, dan walaupun jumlahnya kecil, ia sekurang-kurangnya dapat meringankan kos nelayan membeli makanan asas sepanjang musim tengkujuh.


Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]