Pas-Ikatan wujudkan Pemuda Gagasan Sejahtera

in Politik by


KUALA LUMPUR – Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) hari ini mengumumkan penubuhan gerakan pemudanya yang digabungkan di bawah satu payung dikenali sebagai Pemuda Gagasan Sejahtera.


Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abd Hadi berkata, penubuhan itu selaras dengan persetujuan rasmi sebelum ini antara Ikatan Pusat dan Pas Pusat.


“Pas dan Ikatan adakan pertemuan yang merupakan pertemuan pertama kami capai persetujuan antaranya penubuhan dan pembentukan pemuda Gagasan Sejahtera.


“Kami pemuda bersetuju bentuk Jawatankuasa Pemuda Gagasan Sejahtera,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.


Gagasan Sejahtera ditubuhkan pada Ogos 2016, ia adalah gagasan baharu kepada landskap politik negara yang menawarkan suatu pilihan lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan kepada sebuah budaya berpolitik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.


Mengulas lanjut mengenainya Khalil berkata, Pemuda Gagasan Sejahtera akan mengadakan konvensyen pada 24 Februari di lokasi yang akan dimaklumkan kelak.


Katanya, konvensyen itu akan mengumpulkan kepimpinan daripada pemuda Gagasan Sejahtera, NGO-NGO yang mewakili semua aspek, skop masyarakat yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu islam dalam negara


“Kami juga setuju merangka beberapa program utama antaranya jelajah negeri atas nama Pemuda Sejahtera dan melibatkan kepentingan bersama berasaskan dasar-dasar utama kepada negara khususnya melibatkan perlembagaan.


“Kami akan bergerak atas satu nama Pemuda Gagasan Sejahtera dan disusuli tindakan-tindakan dan program-program berkait,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pemuda Ikatan Shahrir Adnan ketika mengulas mengenai organisasi Pemuda Gagasan Sejahtera berkata, pihak mereka bersetuju untuk melantik Muhammad Khalil sebagai Pengerusi.


“Sementara itu saya pula bertindak sebagai Timbalannya,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]