Plagiarisme satu jenayah akademik

in Nasional by


KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti plagiarisme atau penjiplakan dalam bidang akademik yang semakin kerap dilaporkan kebelakangan ini.


Baginda bertitah, perbuatan plagiarisme telah membentangkan cabaran kepada dunia pendidikan setelah bermulanya World Wide Web dengan maklumat mudah diperolehi secara elektronik melalui internet.


“Pada masa kini, maklumat begitu mudah disalin, ditiru dan ditampal dalam kerja kursus disediakan pelajar.


“Dengan berbilion jumlah bahan yang terkandung dalam internet adalah menyulitkan warga akademik menyemak sepenuhnya kesahihan dan keaslian bahan penyelidikan dihasilkan pelajar.


“Plagiarisme wajib diberikan perhatian serius dan kaedah pemantauan berkesan perlu diformulasikan demi memastikan integriti dan kredibiliti sesebuah universiti terus terpelihara,” titah baginda, hari ini.


Baginda yang juga Cancelor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bertitah sempena Istiadat Konvokesyen USAS ke 10 di Dewan Jubli Perak, di sini.


Sultan Nazrin bertitah, plagiarisme boleh dikategorikan sebagai satu jenayah akademik menunjukkan perilaku mungkar terhadap ilmu dan para ilmuan.


“Di Jerman, mantan Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Parlimen Eropah meletakkan jawatan selepas dikesan memplagiat disertasi ijazah Doktor Falsafah masing-masing.


“Di United Kingdom, seorang pendaftar universiti dikenakan hukuman penjara setelah didapati menjual ijazah palsu kepada seorang wanita Afrika. London School of Economics pula terpaksa menangani dakwaan plagiarisme dalam tesis PhD, Saif el-Islam Gaddafi iaitu anak kedua Muamnar Gaddafi. Sementara di Pakistan, lebih 140 penggubal undang-undang didapati¬† kerana memiliki ijazah palsu.


“Ini membuktikan, plagiarisme ini wajib ditangani secara tegas,” kata baginda.


Dalam titah ucapan, Sultan Nazrin turut menyatakan kebimbangan para ilmuan tulen apabila universiti telah berkembang sebagai satu industri dalam pendidikan dengan ada yang ditubuhkan untuk tujuan komersial, beroperasi sebagai entiti perniagaan bagi meraih keuntungan.


Jelas baginda, ilmuan tulen bimbang akan kemungkinan berlakunya pencemaran kepada dunia ilmu daripada sudut nilai, keaslian dan kesahihan.


“Reputasi kegemilangan sesebuah universiti tidak ditentukan semata-mata oleh bilangan siswazah yang berjaya dihasilkan.


“Sebaliknya lebih dipengaruhi sudut kualiti siswazah yang berwibawa, berintegriti, memiliki daya analisis, pemikiran kritikal serta berpegang kepada prinsip berteraskan fakta,” titah baginda.


Tahun ini, buat pertama kalinya, USAS menganugerahkan graduan dengan ijazah iaitu 41 ijazah Sarjana dan 17 ijazah Sarjana Muda selepas menerima pengiktirafan daripada sebuah kolej kepada kolej universiti dan seterusnya universiti, tahun lalu.


Sementara 785 lagi merupakan penerima diploma dalam pelbagai bidang.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]