Sambutan hari jadi untuk Mahsuri

in Edisi Utara by


LANGKAWI – Sambutan majlis hari jadi untuk haiwan memang jarang diadakan tetapi apabila majlis hari jadi diadakan di Underwater World Langkawi (UWL) hari ini untuk Mahsuri, seekor burung penguin berusia 11 tahun, ia begitu bermakna dan unik.


Mahsuri, burung Penguin baka Afrika yang menetas pada 17 Mac 2006, merupakan burung akuatik tidak boleh terbang yang pertama menetas di UWL sejak pusat pameran dan penyelidikan kehidupan laut yang terkenal itu memulakan program pembiakan pada 2003.


Pengurus Besar UWL, Abd Razak Abd Aziz berkata kejayaan itu menandakan permulaan usaha yang luar biasa untuk program itu yang melakar satu lagi kejayaan dengan penetasan baka Rockhopper yang pertama yang dibiak dalam kurungan pada 2007, yang kemudian dicatatkan dalam Malaysian Book of Records.


“Pada 2003, hanya 20 ekor burung penguin dibawa dari Johannesburg (Aftrika Selatan), hari ini kami telah berjaya membiak 86 anak penguin yang menetas dalam kurungan dan di luar habitat semula jadinya,” kata beliau.


Beliau berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen UWL terhadap penyelidikan dan tanggungjawab korporat yang mampan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya memelihara spesies terancam seperti burung penguin.


Ketua pegawai eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin yang merasmikan sambutan itu berkata kejayaan UWL dalam program pembiakan penguin di pulau tropika ini merupakan satu kejayaan luar biasa.


“Sebelum  kejayaan ini, orang hanya berfikir bahaswa penguin hidup di kawasan sejuk tetapi kini kita telah membuktikan bahawa burung akuatik itu juga boleh hidup di kawasan tropika seperti di Langkawi,” kata beliau.


Beliau juga memuji inisiatif UWL untuk memperkenalkan seksyen sistem eko-sistem pantai, tarikan terbaharu yang menampilkan eko sistem tropika buatan yang dipaparkan dengan flora dan fauna, yang mempunyai potensi baik, sesuai degan status Langkawi sebagai Geopark Global Pertubuhan Bangsa Bersatu.


“Produk seperti ini akan menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi dan mempelajari mengenai eko sistem kita,” kata beliau.- Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]