Sasar laksana KBT di semua SABK menjelang 2020

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


REMBAU – Kerajaan negeri menyasarkan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) di semua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di negeri ini, menjelang 2020.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai ulama dan profesional yang menguasai al-Quran sekali gus bagi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa yang berhasrat menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai kurikulum tahfiz.  


“Kita sasarkan semua 16 SABK yang ada di negeri ini akan akan melaksanakan KBT tetapi setakat ini hanya empat SABK telah melaksanakan KBT manakala 12 SABK lagi masih belum dapat dilaksanakan berikutan kekurangan tenaga pengajar.


“Justeru, kita mengalami kesukaran untuk melaksanakan KBT di 12 SABK yang lain disebabkan pihak kementerian berhadapan dengan masalah pengambilan guru yang boleh mengajar dalam bidang Qiraat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Ihtifal Sekolah-sekolah Menengah Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan kali pertama, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Mohamad berkata, trend hari ini bukan sahaja ibu bapa lebih cenderung untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai kurikulum tahfiz bahkan graduan yang berlatar belakang pengajian agama juga diibaratkan seperti goreng pisang panas.


“Apabila ramai ibu bapa mahu hantar anak mereka ke sekolah-sekolah tahfiz, maka di situ juga diperlukan guru-guru mahir dalam bidang tersebut.


Jadi saya amat berharap agar para pelajar yang ketika ini sedang menuntut di luar negara dalam bidang-bidang agama agar mereka dapat pulang segera sejurus tamat pengajian kerana mereka amat diperlukan,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata pelaksanaan TMUA di negeri ini yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, menunjukkan hasil positif walaupun ia baharu dilaksanakan.


“TMUA telah mula dilaksanakan di seluruh negara pada 2014, dan kita diberikan pengiktirafan untuk laksanakan TMUA ini dua tahun lepas, kita agak bangga walaupun baru dua tahun kita sudah ada seorang model yang berjaya khatam al-Quran dalam tempoh yang singkat.


Selain itu, Ihtifal Sekolah-sekolah Menengah TMUA yang buat pertama kalinya diadakan ini juga adalah usaha yang amat baik dilakukan kementerian untuk menguji sejauh mana kecekapan menghafaz al-Quran,” katanya.


Majlis Ihtifal Sekolah-sekolah Menengah TMUA Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan kali pertama yang telah berlangsung sejak dua hari lepas menobatkan Kuala Lumpur sebagai johan keseluruhan, daripada 15 sekolah yang bertanding dari seluruh negara.- Bernama


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]