Satu mayat ditemui, satu lagi dicari

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Mayat seorang lelaki yang hampir reput ditemui kira-kira 4.6 batu nautika dari timur Pulau Kapas, Marang kira-kira jam 12 tengah hari tadi.


Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) DM9 Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, mayat lelaki pertama yang tidak berbaju dan hanya berseluar trek hitam, ditemui nelayan yang sedang menangkap ikan di kawasan itu.


Susulan itu, nelayan berkenaan menghubungi pihak Maritim pada kira-kira jam 12.15 tengah hari, sebelum mengarahkan anggotanya ke situ untuk tindakan lanjut.


“Bot Maritim Kilat 2 yang sedang melakukan rondaan rutin berdekatan kawasan diarahkan untuk ke tempat kejadian dan mengambil maklumat daripada nelayan, seterusnya membawa mayat tersebut ke jeti DM9 dan tiba di jeti kira-kira jam tiga petang tadi,” katanya.


Beliau berkata, ketika ditemui, mayat itu dalam keadaan terlangkup dan terapung serta hampir reput, dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira lima hari, selain tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.


Sementara itu, Maritim turut dimaklumkan berhubung penemuan mayat kedua, kira-kira 11 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang pada kira-kira jam lima petang oleh nelayan.


Sebaik sahaja menerima laporan terbabit, bot Maritim digerakkan ke lokasi terbabit sejam kemudian, namun usaha pencarian masih diteruskan.


“Setelah pemeriksaan dibuat, tiada laporan mangsa lemas atau hilang diterima di Terengganu dan Kelantan dalam tempoh seminggu ini.


“Bagaimanapun, jika ada sebarang maklumat atau kehilangan keluarga atau kenalan, orang ramai diminta untuk menghubungi Pusat Operasi (PUSOP) Maritim atau balai polis berhampiran,” katanya.


Mayat tersebut kemudiannya diserahkan kepada Balai Polis Marang untuk tindakan lanjut, sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini untuk bedah siasat.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]