Syed Saddiq jawab soal 'seks selamat'

in Politik by


SHAH ALAM – Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan yang beliau menggalakkan remaja dan golongan belum berkahwin mengamalkan seks bebas di negara ini.


Menjelaskan ia hanya salah faham, Syed Saddiq berkata, galakan untuk mengadakan seks selamat juga ditujukan kepada pasangan yang sudah berkahwin.


“Memandangkan saya mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter, netizen mudah salah faham dan tidak memahami kenyataan saya sepenuhnya.


“Saya tidak menggalakkan sesiapapun mengadakan seks bebas dengan cara selamat, sebaliknya apa yang saya cuba katakan adalah mengenai sistem pendidikan seks bagi pasangan yang sudah berkahwin juga,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.


Sebelum ini, Syed Saddiq sebelum ini mencetus kontroversi apabila kenyataannya di Twitter mengenai amalan seks selamat disalah tafsir oleh netizen.


Beliau berkata, golongan remaja masa kini mempunyai batas pergaulan yang bebas dan ia tidak lagi boleh dielakkan.


“Paling kurang kita mengajar mereka mengamalkan seks selamat dengan menghalang mereka daripada mengandung,” katanya.


Mengulas isu sama, beliau berkata, rakyat sepatutnya lebih fokus terhadap masalah yang lebih besar dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.


“Apa yang saya katakan sebenarnya sudah diamalkan oleh banyak negara-negara besar di luar sana.


“Kita bukan sahaja boleh mencegah kebebasan amalan seks, malah kita juga boleh memberi kesedaran amalan seks selamat terhadap rakyat,” katanya lagi.


Menurutnya lagi, amalan seks selamat sebenarnya mampu membendung penyakit-penyakit kelamin daripada terus menular dalam negara ini.


Sehubungan itu, beliau mengajak pakar perubatan, kerajaan dan juga agamawan untuk berunding bagi mengatasi masalah ini.


“Pendidikan seks di negara ini perlu dibaiki kerana jika ia berfungsi dengan baik, Malaysia tidak akan tersenarai daripada salah satu negara yang paling banyak mencatatkan kes-kes HIV.


“Ini adalah satu perkara yang kita perlu beri perhatian, kita tidak boleh abaikan pandangan doktor, sudut agama dan sudut kerajaan yang tahu dari segi kawal selia isu ini,” ujarnya.




 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]