Tak sempat larikan lori

in Edisi by


TAPAH – Tindakan dua suspek melarikan sebuah lori membawa padah apabila salah seorang daripada mereka berjaya ditahan, kira-kira jam 1.30 petang kelmarin.


Lori Suzuki berwarna biru dan putih itu dilaporkan dicuri di Rawang sebelum dikesan di Lebuhraya Utara Selatan, dekat Tapah.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Din Keliaw berkata, secara kebetulan dua anggota trafik sedang melakukan tugas ronda latihan undi pilihan raya kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima maklumat berkenaan kes tersebut daripada bilik gerakan IPD Tapah.


Menurutnya, berdasarkan maklumat, dua anggota trafik IPD Tapah terus mengejar suspek menggunakan motosikal pasukan.


“Ketika sampai di Kilometer (KM) 289.1, arah Utara melepasi RTC Gopeng, anggota nampak lori yang dilaporkan hilang dan cuba untuk menahan kenderaan terbabit supaya berhenti.


“Pemandu lori terus berhentikan lori di tepi lebuh raya dan anggota trafik memeriksa pemandu lori,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Som Sak berkata, dalam masa sama, anggotanya melihat dua lelaki meluru keluar dari tempat duduk pemandu dan tempat duduk penumpang untuk melarikan diri ke arah hutan berdekatan.


Katanya, anggotanya cuba mengejar suspek dan dalam masa sama anggota JSJ IPD Tapah, anggota Jabatan Siasatan dan Penguat kuasa Trafik IPD Kampar dan Pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) Tapah serta Ipoh tiba memberikan bantuan.


Tambah Sok Sak lagi, anggota berjaya menangkap pemandu lori di kawasan semak berhampiran Taman Seri Raia, Kampung Kepayang, Ipoh.


“Pemandu lori berusia 25 tahun ditahan dan lori tersebut dirampas kerana disyaki terlibat kes curi kenderaan di Rawang serta dibawa ke IPD Tapah untuk siasatan lanjut.


“Suspek berasal Kuala Lumpur itu mempunyai kes lampau berkaitan kes di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan di Muar, Johor. Dia akan diserahkan kepada IPD Gombak bagi membantu siasatan kes curi kenderaan di sana,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]