Tiga beradik perlu kaunseling

in Edisi by


BACHOK – Ahli keluarga mangsa bunuh tiga beranak di Wakaf Mek Zainab, Rabu lalu, berharap anak mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.


Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari Rabu lalu, mangsa, Kha Eng Ni dan isterinya, Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz mati dibunuh pekerja mereka dikenali Sharat Eh Wang@Pot, 31, dari Kampung Jubakar Darat, Tumpat.


Abang sulung Eng Ni, Kha Eng Choon, 51, berkata, mereka sekeluarga merasa kehilangan memandangkan mereka tinggal bersebelahan dan sering berkumpul setiap minggu di rumahnya.


“Kami lima beradik dan mendiang adalah anak ketiga. Kami semua selalu berkumpul untuk bersembang dan bergurau senda.


“Saya belum sempat bercakap dengan anak-anak saudara saya. Saya yakin mereka perlu bantuan kaunseling untuk pulihkan semangat selepas kejadian ini,” katanya.


Dia berkata, Zee Hanz rapat dengan anak bongsunya, Kha Chia Chiang, 14, dan mereka sering menunggang motosikal bersiar-siar selain berkongsi minat sama.


Katanya, perbincangan keluarga akan diadakan untuk perancangan masa depan tiga lagi anak mangsa.


“Anak-anak saudara saya akan putuskan nak tinggal dengan siapa. Kita tak mahu paksa kerana mereka masih trauma,” katanya.


Tambahnya, Eng Choon memaklumkan adiknya tidak pernah merungut mengenai suspek dan melayaninya dengan baik selama tiga tahun bekerja dengannya.


“Adik saya selalu puji dia, layan dengan baik, bagi makan minum semua. Saya tak pernah dengar masalahnya dengan suspek.


“Bila isteri (Lee Eian Chu, 48) telefon beritahu tentang kejadian itu, saya rasa macam tak percaya,” katanya.


Menurutnya, pada hari kejadian dia berada di Johor dan adiknya ada menelefon pada jam 9 pagi, sebelum isterinya memaklumkan kejadian itu jam 4 petang hari sama.


“Saya tak pasti apa puncanya. Namun, kami reda kerana orang yang pergi tak akan kembali, tetapi saya harap suspek cepat ditangkap dan diberi hukuman setimpal,” jelasnya.


Mangsa meninggalkan tiga anak iaitu anak sulung, Kha Xing Fei, 19, dan dua lagi adiknya yang terselamat dalam kejadian itu, Kha Xing Rhuu, 15, dan Kha Xiang Shyen, 8.


Kesemua mayat mendiang dibawa ke rumah mereka di Kampung Balai untuk penghormatan terakhir sebelum disemadikan di tanah perkuburan keluarga di Kampung Merabang jam 12.30 tengah hari semalam.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]